Tiada yang mustahil dalam bola sepak! Kita perlu lebih agresif untuk beri yang terbaik – Danial Amier
Pemain pasukan kebangsaan Malaysia, Danial Amier berkata untuk perlawanan seterusnya menentang gergasi Thailand mereka perlu bermain dengan lebih agresif lagi untuk cuba mendapatkan keputusan positif.
Menurut Danial, dalam dunia bola sepak tiada yang mustahil oleh itu mereka perlu segera perbaiki kelemahan dan pamerkan permainan yang terbaik.
“Walaupun kita tahu menentang Timor-Leste jangkaan tinggi untuk skuad negara tapi kita semua harus mengakui kelemahan, kena tengok apa yang perlu kita buat untuk perbaiki untuk perlawanan akan datang.
Pandangan saya sendiri, kita kena lebih agresif dan perlu lebih ‘eager’ untuk bagi yang terbaik untuk pasukan negara. Tiada apa yang mustahil dalam dunia bola sepak,”
katanya.
Danial berkata demikian selepas tamat perlawanan kedua Kumpulan A Piala AMEC 2024 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang tipis 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dalam pada itu, Danial turut bersyukur apabila mendapat peluang untuk turun beraksi untuk skuad negara dan gembira apabila berjaya membantu pasukan mendapatkan kemenangan berharga.
Biarpun merupakan antara pemain baharu yang dipanggil oleh ketua jurulatih Pau Marti, Danial memberitahu beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan kebangsaan.
“Untuk saya sendiri, tak susah pun nak ‘adapt’ sebab dengan ‘playing style’ daripada Coach Pau, mudah untuk faham, mudah untuk diikuti dengan pemain-pemain yang sudah lama bersama dengan Coach Pau dan pemain lain juga banyak membantu saya.”
Sementara itu, Danial menuntut rakan sepasukan untuk berikan 100% pada perlawanan ketiga menentang Thailand pada 14 Disember ini di Bangkok.