Daniel Ting yakin boleh dapat keputusan baik menentang Thailand jika mereka bermain dengan kemampuan sebenar
Pemain pertahanan kebangsaan, Daniel Ting mengakui bakal berdepan cabaran cukup besar untuk perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala AMEC 2024 apabila akan bertemu gergasi Thailand pada 14 Disember ini.
Biarpun menyedari cabaran besar besar menanti, Daniel kekal optimis dan berkata mereka mampu dapat keputusan positif sekiranya dapat bermain dengan kemampuan sebenar mereka.
“Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Thailand adalah sebuah pasukan yang cukup kuat tambahan kita bermain di tempat lawan pula.
Dengan beberapa pemain mengalami kecederaan tapi kami akan turun dengan misi untuk menang dan saya yakin jika kita boleh bermain dengan kemampuan sebenar kita boleh dapat keputusan baik,”
katanya.
Daniel berkata demikian selepas tamat perlawanan kedua Kumpulan A yang menyaksikan skuad Harimau Malaya melakukan kebangkitan untuk menang tipis 3-2 ke atas Timor-Leste.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Daniel menegaskan bahawa mereka tidak memandang rendah langsung dengan pasukan lawan dan sudah menjangkakan ia akan menjadi aksi yang sukar buat mereka.
“Saya tak rasa kita pandang rendah dengan pasukan lawan kerana ini adalah bola sepak antarabangsa, jadi setiap pasukan mempunyai pemain terbaik dari negara mereka.
Mungkin malam ini kami kurang fokus tapi apa pun yang penting tiga mata penuh.”