Stadium ikonik Darul Aman kini dibuka untuk sewaan umum bagi aksi persahabatan

159

Berita baik buat kaki bola sepak di Alor Setar, Kedah! Kini mereka boleh merasai sendiri pengalaman bermain di stadium rasmi pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) iaitu Stadium Darul Aman (SDA) selepas Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) membuka padang untuk sewaan umum bagi perlawanan persahabatan.

Sewaan SDA ini bagaimanapun hanya akan dibuka untuk sesi malam sahaja dengan kadar RM1,100 untuk setiap sesi perlawanan dan bayaran tersebut tidak termasuk pengadil dan jurugambar.


Langkah untuk membuka sewaan kepada umum oleh PSNK ini tidak hanya bertujuan untuk memaksimumkan penggunaan stadium yang mempunyai kapasiti lebih 30,000 tempat duduk dan kemudahan lain, tetapi ia juga dapat membantu menjana pendapatan.

SDA merupakan antara salah satu stadium yang cukup ikonik di Malaysia yang mana ia merupakan stadium yang menjadi venue kepada pelbagai acara bola sepak besar seperti saingan domestik Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA serta Piala Cabaran.

Tidak hanya terhad kepada saingan domestik sahaja kerana SDA sebelum ini juga pernah menjadi tuan rumah untuk pasukan Sang Kenari ketika mereka beraksi di pentas Asia dalam saingan Piala AFC pada tahun 2008 yang menyaksikan mereka berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Malah pada tahun yang sama, SDA pernah menjadi venue untuk perlawanan persahabatan amal antara skuad Hijau Kuning dengan pasukan kebangsaan gergasi dunia iaitu Brazil yang menyaksikan Kedah tewas 1-4.

Oleh itu, dengan pembukaan SDA untuk sewaan umum ini diharap dapat terus merangsang aktiviti sukan di negeri Kedah sekaligus memberi platform kepada pasukan-pasukan kecil untuk bermain di venue yang cukup berprestij itu.

Inilah masanya untuk mana-mana pemain bola sepak sosial atau amatur untuk merasai sendiri pengalaman beraksi di salah satu stadium terbaik di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai sewaan boleh layari laman rasmi Facebook PSNK.