FAM sasar Harimau Malaya ke final Piala AMEC 2024! Sasaran realistik atau sebaliknya?

163

Ketika ini pasukan kebangsaan Malaysia sedang mengharungi kempen peringkat kumpulan kejohanan Piala AMEC 2024 yang menyaksikan skuad negara berada di puncak Kumpulan A selepas dua perlawanan hasil satu kemenangan dan satu seri.

Tidak dinafikan, kempen Piala AMEC pada edisi kali ini cukup mencabar buat Harimau Malaya terutamanya buat ketua jurulatih Pau Marti yang terpaksa berdepan situasi yang sukar apabila tidak dapat menyiapkan skuad terbaik dek tempoh persiapan yang singkat.


Apa yang membuatkan Pau Marti ‘pening kepala’ adalah pemain-pemain yang berada dalam senarai untuk Piala AMEC kali ini boleh keluar dari skuad negara buat seketika waktu untuk bermain bersama kelab dalam saingan domestik.

Malah ada juga pemain yang lewat melaporkan diri dan dengan tempoh persiapan yang singkat sudah semestinya beliau tidak dapat membuat persiapan rapi.

Pada perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Rabu lalu, Harimau Malaya hampir dimalukan oleh pasukan yang berada di ranking ke-196 dunia apabila ketinggalan 2-1 pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun pada separuh masa kedua mereka bangkit untuk menamatkan aksi dengan kemenangan tipis 3-2 dan walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh namun aksi skuad negara mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak.

Ini kerana Timor-Leste yang sebelum ini bertemu dengan gergasi Thailand dibelasah 10-0 dan kemenangan tipis ke atas pasukan yang tidak mempunyai padang untuk buat persiapan bagi kejohanan ini nyata cukup membimbangkan.

Pau Marti pada sidang media selepas tamat perlawanan meluahkan rasa kecewa dan kesalnya terhadap situasi yang berlaku di mana beliau berkata sukar untuk mereka fokus sepenuhnya apabila kelab-kelab meminta pemain kembali dan lewat melaporkan diri.

Skuad negara akan bertemu Thailand pada 14 Disember ini dan melihat situasi semasa ini jika mereka berjaya mencuri satu mata di Bangkok nanti ia merupakan satu bonus kerana pasukan lawan ketika ini berada pada prestasi terbaik mereka.

Melihat kepada kedudukan semasa Kumpulan A, sukar untuk meramalkan samada skuad negara mampu melangkah ke peringkat separuh akhir atau tidak kerana ia bergantung kepada baki dua perlawanan iaitu menentang Thailand dan juga Singapura.

Semalam pada majlis Pelancaran Jam Tangan Edisi Terhad CAT X Harimau Malaya, Setiausaha Agung FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) iaitu Datuk Noor Azman Rahman menyuarakan keyakinan terhadap Pau Marti untuk turun skuad terbaik.

Malah Noor Azman juga berkata sasaran FAM untuk kempen Piala AMEC edisi ini adalah untuk layak ke perlawanan akhir biarpun sedar dengan situasi semasa skuad negara ketika ini.

Persoalannya kini, adakah sasaran yang diletakkan realistik dan berpijak di bumi yang nyata?

Apa pun seluruh penyokong bola sepak tanah air sentiasa mendoakan kejayaan buat Harimau Malaya dan akan terus berada di belakang walau apa jua keadaan sekali pun.