10 juta untuk FAM, mana untuk BAM?
FAM baru-baru ini menerima suntikan dana RM 10 juta daripada kerajaan sebagai salah satu langkah pembangunan bola sepak negara.
Sukan nombor satu negara itu dilihat menerima layanan istimewa biarpun acapkali menampilkan aksi longlai di peringkat antarabangsa. Skuad negara kini menduduki ranking ke-154 dunia di bawah negara-negara kerdil seperti New Caledonia, Lesotho dan Comoros.
Reputasi bola sepak sebagai sukan nombor satu negara semakin tercalar apabila berlakunya pergolakan dalaman terutamanya melibatkan pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga. Selain itu, isu-isu remeh yang lain seperti pemilihan pemain ke kejohanan penting juga sering menjadi pelengkap kepada berita kurang enak yang berlaku untuk skuad bola sepak negara.
Tiada kejayaan membanggakan sebenarnya buat skuad bola sepak negara. Hanya kejayaan meraih kejuaran Piala AFF pada tahun 2010 dan Sukan SEA 2011 menjadi cerita lapuk skuad kebangsaan. Selepas itu, rentetan harapan palsu diberikan kepada peminat bola sepak negara.
Di laman Twitter juga, peminat-peminat sukan tanah air mempersoalkan mengapa dana sebanyak itu diberikan kepada FAM. Dana itu sebenarnya boleh digunakan untuk pembangunan sukan lain yang lebih membanggakan negara.
Dari bagi 10 juta kat FAM yang main bola ntah kena mana, baik lagi invest kat Dek Wan. Ada juga pingat emas dan harumkan nama negara.
— PerlisInderaKayangan🌺🇲🇾 (@OhMyPerlis) January 21, 2022
C’mon Dek Wan, we are with you! https://t.co/8CrPLJ8u9a
Jika dibandingkan dengan prestasi skuad badminton negara, sebenarnya BAM lebih daripada layak untuk menerima suntikan dana yang sama. Pemain-pemain badminton negara seringkali mempamerkan aksi yang memukau dan membanggakan rakyat negara.
Dan terbaru, kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menjadi bukti bahawa badminton lebih daripada layak untuk menjadi sukan nombor satu negara. Prestasi di Piala Sudirman, Piala Thomas dan Piala Uber baru-baru ini menunjukkan bahawa sukan ini perlu juga diberikan perhatian yang selebihnya oleh pihak berwajib.
Sukan ini sering menjadi harapan untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Biarpun masih belum membuahkan hasil, namun kejayaan meraih pingat-pingat di Sukan Olimpik edisi terdahulu membuktikan pemain badminton negara mampu untuk “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan kuasa-kuasa besar yang lain.
Jadi, apa sebenarnya sukan yang perlu diberikan perhatian?
Yang popular atau yang menghasilkan kejayaan?