Rejaman tajam Aekasit jadi mimpi buruk lawan
Kehadiran Aekasit Naphom memberikan dimensi yang baru kepada corak permainan skuad Penang Black Panthers.
Perejam Thailand berusia 28 tahun ini berjaya membantu skuad dari utara itu untuk menang dua perlawanan berturut-turut menentang Putrajaya Cyborg dan juga Kelantan Warriors.
Pengalaman Aekasit yang sebelum ini pernah membantu Penang Black Panthers menjulang kejuaraan berganda STL dan STL Champions Cup dilihat amat berguna untuk membantu pemain-pemain muda seperti Faisal Fuad dan Zulhusni Basri terutamanya ketika perlawanan menentang Putrajaya Cyborg.
Biarpun bermula agak gugup pada set pertama sehingga tewas 16-21, namun ketajaman rejaman killer Thailand ini terserlah apabila mudah mencipta dalam dua set berikutnya 21-15 dan 21-16. Selain hebat membuat rejaman, Aekasit juga berjaya menghadirkan mata kepada pasukannya dengan melakukan blocking yang menghalang rejaman yang dilakukan killer lawan, Amar Putra Rohaimee.
Selain itu, kehadiran beliau juga dilihat akan memberikan manfaat kepada pemain-pemain muda yang lain terutamanya untuk dua orang lagi killer yang berada di dalam pasukan iaitu Danial Bahrin dan Haikal Jamil. Kedua-dua pemain ini boleh memanfaatkan kehadiran Aekasit dalam pasukan dengan mempelajari teknik-teknik yang berkesan untuk menjadi killer yang digeruni pihak lawan.
Secara keseluruhannya, kehadiran beliau memberikan satu semangat baru kepada pasukan yang sebelum ini kelihatan terumbang-ambing dengan aksi yang tidak konsisten. Namun, melihat kepada persembahan skuad ini pada minggu lepas, ternyata aksi berbeza yang dipamerkan oleh mereka.
Kehadiran beliau juga dilihat mampu untuk membantu pasukan dalam mencari kedudukan terbaik dalam liga serta dapat merapatkan mata dengan pendahulu, ATM Guardians. Selepas tamat perlawanan minggu ke-6, skuad Penang Black Panthers melonjak ke tangga ketiga terikat 16 mata dengan pasukan berstatus pilihan, KL Thunder.
Kehadiran Aekasit memberikan motivasi yang tinggi kepada pasukan menjelang perlawanan minggu ke-7 menentang Selangor Pistons dan KL Thunder. Sudah semestinya khidmat beliau akan terus ditagih dalam usaha pasukan menamatkan liga dalam kedudukan terbaik dan seterusnya bersaing merebut kejuaraan STL Champions Cup.