Faisal Halim rindu sarung jersi Harimau Malaya
Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim mengakui dirinya rindu untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan setelah sekian lama terpaksa diketepikan dek insiden yang tidak diingini berlaku kepada dirinya sebelum ini.
“Sudah tentu saya rindu (bermain untuk pasukan kebangsaan) sebab apabila kita menyarung jersi kebangsaan dan bermain untuk negara semangat kita, mentaliti kita akan berubah dan akan menjadi lebih bersemangat.
Apabila kita bermain dengan pasukan kebangsaan ia adalah satu peluang untuk meningkatkan prestasi dan juga motivasi dan apabila kita pulang ke kelab kita bawa motivasi yang lebih semangat untuk kelab,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey turut mengucapkan selamat maju jaya buat rakan-rakannya yang sedang bersama pasukan kebangsaan untuk kempen Piala AMEC 2024.
Walaupun ramai yang berpendapat bahawa Mickey kini sudah hampir kembali ke prestasi sebenarnya selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, namun beliau merasakan sebaliknya.
“Saya rasa belum lagi kerana saya perlu bekerja keras lagi untuk mendapatkan prestasi sebenar atau lebih baik jadi saya perlukan perlawanan-perlawanan penting untuk saya kembali ke prestasi sebenar.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ‘The Sign Of Bravery’ Ortuseight Special Edition Faisal Halim yang berlangsung di Project Sports Chuteiraz Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam pada itu, Mickey teruja apabila berpeluang untuk berkolaborasi dengan Ortuseight bagi menghasilkan kasut bolanya sendiri.
“Sudah tentu saya bangga dengan pencapaian apabila mendapat ruang dan peluang untuk berkolaborasi dengan Otus Special Edition Faisal Halim.”
Tambahnya lagi, kolaborasi ini menyaksikan beliau diberi kebebasan untuk memilih sendiri ‘material’, warna, logo dan butiran yang ingin ditampilkan pada kasut bolanya itu.
Kasut bola edisi terhad Ortuseight Special Edition Faisal Halim sudah pun mula dijual dengan harga yang cukup berpatutan iaitu RM310.