Majoriti pemain Stylo Mylo akan berada di DTC-JDT – Solikin Ahmad
Kelab Stylo Mylo merupakan antara salah sebuah kelab bola sepak pembangunan untuk kategori usia 11 dan 12 tahun terbaik di Johor di mana kebanyakan pemain lepasan dari kelab itu akan meneruskan karier mereka di DTC-JDT atau sekolah sukan negeri.
“Kami di Stylo Mylo fokus kami adalah untuk seseorang pemain berkembang maksudnya pemain itu akan bermain lebih jauh dan kami juga lebih ‘prefer’ pemain-pemain ini apabila masuk ke sekolah menengah nanti masuk ke sekolah projek, Akademi JDT atau sekolah sukan negeri.
Kalau di Johor kita ada DTC-JDT dan kebanyakan pemain Stylo Mylo berada di sana. Jadi Alhamdulillah kita akan kekalkan perkara ini dari tahun ke tahun,”
ujar jurulatih Stylo Mylo iaitu Solikin Ahmad kepada Harimau Malaya.
Solikin berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan Liga Suparimau National Finals yang berlangsung di Eco Ardence, Selangor yang telah menyaksikan skuad B-12 Stylo Mylo berjaya menjadi juara.
Dalam pada itu, Solikin nyata gembira dengan kemenangan tersebut yang mana beliau memberi kredit kepada pemain-pemain yang telah memberikan aksi yang cukup cemerlang sepanjang saingan liga berlangsung.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan syukur atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua pemain saya yang bermain bermati-matian dengan bermain di tengah hari.
Alhamdulillah, pemain dapat menunjukkan permainan yang baik dan kita berjaya menjadi juara untuk kali ini.”
Menurut Solikin, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan mereka adalah kerana pasukan ini banyak diberikan pendedahan bermain di luar Johor.
Selain kategori B-12, saingan Liga Suparimau National Finals turut mempertandingkan kategori B-14 dan B-16.