Derita sejak 2018 berakhir apabila 18 bekas pemain Terengganu City FC terima bantuan kewangan FIFA FFP

Selepas menderita enam tahun dek masalah tunggakan gaji, 18 bekas pemain Terengganu City FC akhirnya boleh menarik nafas lega apabila masalah tersebut telah selepas apabila mereka menerima bantuan kewangan melalui FIFA Fund for Football Players (FIFA FFP).
Berita gembira tersebut telah dimaklumkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang menyifatkan kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan PFAM dalam memperjuangkan hak pemain di negara ini.
FIFA FFP adalah sebuah inisiatif hasil kerjasama antara FIFA dan FIFPRO yang mana dana itu diwujudkan untuk membantu pemain bola sepak yang terkesan akibat isu tunggakan gaji seperti yang berlaku kepada bekas pemain Terengganu City.
Dana tersebut adalah sebahagian daripada usaha global FIFA dan FIFPRO untuk melindungi Kebajikan pemain bola sepak profesional untuk beri sokongan kewangan segera kepada pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji dek kegagalan pihak kelab menjalankan tanggungjawab mereka.
Mohd Syazreen Bin Mohd Suhaimi yang merupakan salah seorang pemain yang menerima dana itu bersyukur apabila penantian bertahun-tahun menemui jalan penamat.
“Pertama sekali kami bersyukur kepada Allah kerana diberi rezeki kami. Terima kasih PFAM, FIFPRO dan FIFA kerana menyelesaikan isu tunggakan gaji kami.
Walaupun mengambil masa, saya amat menghargai usaha semua pihak dalam memastikan hak kami dipenuhi. Alhamdulillah, penantian kami sejak tahun 2018 akhirnya selesai. Semoga PFAM terus maju dalam menjaga Kebajikan pemain bola sepak,”
katanya.
Seorang lagi pemain iaitu Izzaq Faris Ramlan berkata bantuan itu adalah bukti kukuh bahawa usaha untuk melindungi hak pemain bola sepak tidak pernah terhenti sekaligus memberi jaminan bahawa PFAM komited dalam memastikan pemain tidak keseorangan dalam menghadapi masalah.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, Izham Ismail menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerja keras untuk memastikan Kebajikan pemain bola sepak di Malaysia terjaga.
“Kami di PFAM akan terus bekerja keras untuk memastikan kebajikan pemain bola sepak Malaysia terjaga. Peranan FIFPRO dalam inisiatif ini adalah sangat besar dan kami bangga menjadi sebahagian daripada keluarga global yang mempertahankan hak pemain.”