Jika kami bermain seperti di Thailand, kami boleh menang menentang Singapura – Sergio Aguero

242

Pemain kebangsaan, Sergia Aguero menyuarakan keyakinan mereka mampu memenangi perlawanan terakhir Kumpulan A  Piala AMEC 2024 menentang Singapura yang akan berlangsung pada Jumaat ini sekiranya mereka mempamerkan permainan seperti ketika menentang Thailand baru-baru ini.

“Ini adalah perlawanan penting bagi kami kerana ia akan menentukan samada kita akan layak ke peringkat seterusnya. Kami sudah bersedia untuk perlawanan ini, kami mahu menang tetapi sudah tentu Singapura bukan lawan yang mudah.

Saya yakin jika kami Bermain seperti yang kami lakukan di Thailand, kami boleh memenangi perlawanan ini,”

katanya.

Pada perlawanan menentang Thailand di Bangkok baru-baru ini, skuad negara telah mempamerkan persembahan yang cukup baik biarpun tewas 1-0.


Biarpun perlawanan menentang Singapura cukup penting tambahan bermain di tempat sendiri iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun Aguero tidak melihat perkara itu akan memberikan tekanan kepada pasukan.

“Tidak ada tekanan tambahan, kami hanya perlu melakukan tugas kami dan perlu bermain seperti yang kami lakukan semasa menentang Thailand.

Saya rasa pasukan telah menunjukkan aksi yang sangat baik, cuma nasib tidak menyebelahi kami, kami tewas dan kehilangan tiga mata, tetapi sekarang kami akan berikan segala-galanya.”

Tambah Aguero lagi, walaupun bermain di peringkat kumpulan tetapi mereka perlu bermain seperti perlawanan akhir sekiranya mahu melangkah dengan lebih jauh dalam kejohanan ini. 

Dalam pada itu, Aguero turut mengakui tidak bermain dengan baik pada perlawanan menentang Timor-Leste, namun kembali ke prestasi terbaik ketika menentang Thailand.

“Ya saya rasa baik ketika menentang Kemboja, tetapi ketika menentang Timor-Leste saya tidak begitu selesa. Saya tahu kemampuan diri dan saya mampu melakukan lebih baik.

Jadi ketika menentang Thailand, saya memberikan tekanan kepada diri sendiri dan berkata ‘Baiklah, saya perlu berikan lebih hari ini kerana pasukan memerlukannya’.”

Sementara itu, Aguero mengakui beliau dan rakan sepasukan berasa kepenatan dek jadual padat susulan tidak hanya bermain untuk skuad negara tetapi juga bermain untuk kelab berikutan saingan liga sedang berlangsung.

“Ya jadual kami sangat padat, kami perlu berulang-alik, bermain dan tiada masa untuk berehat tetapi kali ini kami dapat berehat seketika. Ada pemain yang meluangkan masa bersama keluarga untuk menyegarkan diri. Sekarang kami perlu fokus pada hari Jumaat ini kerana kami mesti menang.”

Malaysia kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan A selepas tiga perlawanan hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir dengan peluang skuad negara untuk mara ke peringkat seterusnya akan ditentukan pada aksi Thailand-Singapura malam ini.

Jika Singapura seri atau tewas, skuad negara akan mempunyai peluang untuk mara ke separuh dengan syarat perlu menang pada perlawanan Jumaat ini, tapi jika Singapura menang Malaysia akan tersingkir.