Biarpun dilanda pelbagai masalah, KDA FC tiada masalah benam Penang FC untuk terus kekal sebagai ‘King of Utara’
Semalam telah berlangsung perlawanan yang dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak iaitu derbi utara yang melibatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC.
Perlawanan yang berlangusng di Stadium Darul Aman menyaksikan Kedah berjaya meraih tiga mata penting sekaligus melonjakkan kedudukan mereka ke tangga ke sembilan Liga Super dengan 17 mata.
Gol kemenangan pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Sukhrob Nurulloev pada minit ke-10 perlawanan sudah cukup untuk membuatkan pasukan pelawat pulang dengan hampa sekaligus gelaran ‘King of Utara’ kekal menjadi milik Sang Kenari.
Keputusan perlawanan semalam nyata membuatkan penyokong Harimau Kumbang berang kerana pasukan kesayangan tewas kepada pasukan yang sedang ditimpa pelbagai masalah, sedangkan pasukan kesayangan mereka tidak berdepan masalah tunggakan gaji.
Umum mengetahui pasukan KDA kini berada dalam situasi yang cukup sukar berikutan mereka berdepan masalah kewangan yang cukup parah menyebabkan banyak perkara tidak diingini berlaku.
Mereka telah kehilangan ketua jurulatih berkaliber, Nafuzi Zain yang meletak jawatan susulan kemelut yang berlanjutan dan kini telah disahkan akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan B-23.
Tidak hanya pengendali, kapten pasukan sensasi Sony Norde juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dek masalah tunggakan gaji.
Masalah tunggakan gaji yang belum selesai juga telah menyaksikan segelintir pemain mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan ketika mereka turun beraksi di Piala Malaysia baru-baru ini.
Malah, ketua jurulatih sementara iaitu Victor Andrag sendiri mengakui beliau dan barisan kejurulatihan tidak dapat membuat percaturan dengan rapi kerana mereka sendiri tidak tahu pemain manakah yang akan turun untuk sesi latihan.
Beliau sendiri faham dengan situasi setiap pemain-pemain sekaligus tidak menyalahkan mereka sekiranya tidak turun latihan.
Apa yang sedang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang cukup mengecewakan kerana hasil sentuhan Nafuzi sebelum ini telah memperlihatkan hasilnya apabila pemain-pemain telah mempamerkan corak permainan yang cukup menarik biarpun skuad yang diturunkan adalah gabungan pemain muda dan senior.
Walaupun situasi yang sedang berlaku ketika ini boleh diumpamakan seperti ‘nasi sudah jadi bubur’ tapi masih belum terlambat untuk pengurusan tertinggi KDA untuk mencari solusi terbaik untuk pasukan.