Saya tidak tahu samada ia memberi manfaat kepada sesiapa untuk memperkenalkan jurulatih baharu ketika kami masih di sini – Pau Marti
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Pau Marti mengakui berasa pelik dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk memperkenalkan ketua jurulatih baharu ketika beliau dan pasukannya sedang mengharungi kejohanan Piala AMEC 2024.
“Ya, sejak awal memang sedikit pelik. Saya pun tidak tahu kenapa dan saya tidak tahu sama ada ia memberi manfaat kepada sesiapa untuk memperkenalkan jurulatih baharu ketika kami masih di sini.
Tetapi kami tidak boleh mengubah atau mengawal perkara ini. Jadi apa yang boleh kami kawal hanyalah apa yang kami lakukan dalam latihan dan di padang.
Kami perlu fokus pada pemain kami bagi memastikan mereka bersedia dan merancang strategi terbaik untuk tewaskan Singapura,”
katanya.
Pada 16 Disember lalu, FAM telah mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih untuk pasukan B-23 kebangsaan.
Dalam pada itu, skuad Harimau Malaya bakal mengharungi perlawanan yang cukup penting di mana mereka perlu menang apabila menentang Singapura pada Jumaat ini dalam perlawanan terakhir Kumpulan A sekiranya mahu melangkah ke peringkat separuh akhir.
Biarpun mempunyai kelebihan apabila perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), namun Pau Marti tidak dapat membuat persiapan rapi berikutan latihan berlangsung tanpa skuad penuh.
“Saya rasa mungkin hari ini akan menjadi satu-satunya sesi di mana kita ada semua pemain bersama. Kami tidak sabar untuk perlawanan ini.
Singapura mempunyai kelebihan dengan dua mata daripada kami jadi mereka perlukan satu mata sahaja untuk mereka layak, jadi kami perlu mengambil risiko dan perlu bekerja keras kerana kami perlu menang.”
Beliau turut menjangkakan perlawanan pada Jumaat ini akan menjadi cukup sukar.
Sementara itu, Pau Marti juga berharap akan mendapat sokongan daripada penyokong untuk turun membanjiri SNBJ bagi memberi sokongan padu buat pasukan kesayangan bagi memastikan sasaran untuk mara ke separuh akhir menjadi kenyataan.