Singapura lebih bersedia untuk bertemu Malaysia kali ini – Hariss Harun

Kapten pasukan kebangsaan Singapura, Hariss Harun memberitahu pasukannya sudah bersedia untuk menentang Malaysia pada perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AMEC 2024 Jumaat ini untuk merebut slot ke separuh akhir.

Menurut Harris, pada kejohanan kali ini mereka tampil dengan skuad yang lebih berpengalaman berbanding tahun lalu.


“Pada perlawanan terakhir, kami mempunyai ramai pemain muda yang kurang pengalaman bermain dalam suasana besar seperti di Bukit Jalil. Namun kini, kami mempunyai lebih banyak pemain berpengalaman yang tahu bagaimana mengendalikan situasi ini.

Esok adalah perlawanan baru jadi semuanya bergantung kepada apa yang berlaku dalam 90-95 minit di padang. Kami bersedia dan tahu ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit seperti biasa antara Singapura dan Malaysia,”

katanya.

Pada kejohanan sama tahun lalu, Singapura terpaksa akur dengan kehebatan Malaysia selepas mereka tewas 4-1.

Hariss juga menjangkakan perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ini akan menjadi cukup menarik dan sukar kerana kedua-dua pasukan perlukan keputusan positif untuk memastikan mereka berjaya mara ke peringkat seterusnya.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, terutamanya kerana ia adalah perlawanan keempat berturut-turut untuk kami. Bagi mereka, mereka mempunyai sedikit kelebihan kerana bermain di tempat sendiri dan mempunyai banyak masa untuk berehat.

Namun, keseluruhan situasi ini sangat besar dan penting untuk kedua-dua pasukan. Kami benar-benar menantikan perlawanan esok.”

Dalam pada itu, Hariss yang tidak diturunkan pada perlawanan menentang Thailand berkata beliau sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan dan tidak sabar untuk turun beraksi.

“Saya mengalami kecederaan kecil baru-baru ini jadi kami buat keputusan bersama jurulatih dan pegawai perubatan untuk beri saya masa lebih untuk pulih. Saya sudah berlatih dan saya harap dapat memberikan yang terbaik esok.”

Beliau turut mengakui perlawanan melibatkan Singapura dan Malaysia cukup istimewa kerana kedua-dua pasukan ini mempunyai rivalri di dalam dan luar padang.