Kelantan Red Warrior sedang tunggu jawapan dari AFL untuk beraksi di Liga A1 musim depan – Nik Hafiz Naim

52

Setelah pasukan TRW Kelantan FC gulung tikar dek masalah kewangan yang parah, saingan Liga Super tampak sedikit suram tanpa kehadiran pasukan yang mempunyai legasi besar dalam saingan liga tempatan.

Walaupun bola sepak di negeri itu belum terkubur dengan kehadiran Kelantan Darul Naim FC (KDN) yang kini beraksi di Liga Super, namun ia tidak dapat menarik majoriti peminat bola sepak di negeri itu kerana bagi mereka TRW Kelantan adalah pasukan utama.


Peminat kini teruja apabila pasukan kesayangan mereka bakal kembali membuat penampilan dalam kancah bola sepak tanah dengan pelancaran Kelantan Red Warrior (KRW) baru-baru ini.

KRW adalah pasukan yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mana idea asal penubuhan pasukan itu adalah untuk menyelamatkan maruah bola sepak Kelantan di mana gerak kerja sudah bermula sejak Julai 2024 yang dipeopori oleh Nik Hafiz Naim Nik Hassan.

Menurut Presiden KRW iaitu Nik Hafiz, mereka tidak akan tergesa-gesa mahu bermain di Liga Super sebaliknya mereka akan bermula dengan liga semi-profesional Liga A1 anjuran Amateur Football League (AFL).

“Kita membuat permohonan kepada AFL dan pihak AFL sedang dalam proses jadi insyaAllah kita akan dapat jawapan daripada AFL nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nik Hafiz yang merupakan salah seorang individu yang pernah berada dalam TRW Kelantan berkata beliau akan menggunakan pengalaman dan pengajaran bersama pasukan terdahulu untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Malah beliau bersama pelabur-pelabur KRW akan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan pasukan dapat berjalan dengan lancar.

“Saya rasa dari segi perbelanjaan kita perlu kawal supaya tidak melebihi bajet dan semuanya akan dilakukan secara berhati-hati.”

Dalam pada itu, Nik Hafiz juga teruja dan gembira dengan sambutan yang diterima selepas mengumumkan kemunculan KRW dan berharap sokongan itu akan berterusan.

“Sambutan yang diterima cukup luar biasa daripada peminat-peminat terutamanya daripada peminat TRW di seluruh negara jadi kita harap peminat akan terus bersama kita melalui perjalanan yang Panjang dan berliku ini.”

Sementara itu, dengan slogan ‘dari penyokong, untuk penyokong’ Nik Hafiz percaya bahawa zaman kegemilangan bola sepak Kelantan akan kembali tidak lama lagi.