Piramid bola sepak di peringkat amatur bermula dari semi-profesional sudah tersusun – Raimi Fakri
Dalam usaha membangunkan bola sepak tempatan ia memerlukan sistem piramid bola sepak yang lengkap dari peringkat bawah dan pengelola liga bola sepak Amateur Football League (AFL) dilihat telah berjaya melakukannya.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, piramid bola sepak di peringkat amatur bermula dari semi-profesional kini sudah tersusun rapi dengan adanya Liga A1 (Liga M3), Liga A2 (Liga M4) dan Liga A3 (Liga M5).
“Harapan saya untuk AFL pada musim akan datang dan musim seterusnya adalah untuk terus meningkatkan lagi mutu penganjuran liga. Kalau ikutkan sebelum ini kita bermula pada tahun 2020 dengan Liga M3 dan M5 dan M4 tak ada pun.
Di mana Liga M4 itu dibentuk pada tahun 2023 melalui pasukan yang tersingkir dari Liga M3 dan naik dari Liga M5.
Pada tahun ini juga kita membuat satu kelainan di mana kita membuat penjenamaan semula liga kita kepada Liga A1, A2 dan A3, di mana struktur atau piramid bola sepak di peringkat amatur bermula dengan semi-profesional sudah tersusun,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Raimi turut memberitahu bahawa pihak AFL sentiasa komited untuk memastikan kualiti liga dibawah kelolaan AFL berkualiti baik dari segi pasukan yang bertanding atau dari segi pengurusan.
“Sudah tentu kita mempunyai perancangan untuk penambahbaikan dan kita juga sedang bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan juga badan-badan lain untuk membentuk pasukan di bawah AFL, maknanya pasukan-pasukan yang berkualiti sebagai persediaan mereka untuk bermain di liga atas (Liga Super).”
Sementara itu, biarpun saingan Liga A1 masih lagi berlangsung namun Raimi memaklumkan bahawa mereka akan memperkasa dan menetapkan kriteria yang lebih ketat pada musim hadapan yang mana ia akan diumumkan selepas saingan liga musim ini tamat.