Apek akui terkesan dengan pemergian DOKS tapi perlu bersikap profesional 

79

Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui beliau dan rakan sepasukan sedikit terkesan apabila jurulatih yang cukup berkaliber Datuk Ong Kim Swee meninggalkan pasukan itu sebagai ketua jurulatih baru-baru ini.

Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek berkata mereka perlu teruskan juga kerana jurulatih atau pemain keluar masuk adalah perkara yang normal dalam dunia bola sepak.


“Saya dan rakan sepasukan agak terkesan dengan pemergian DOKS tapi kami sebagai pemain kena profesional.

Kita tahu jurulatih/pemain datang dan pergi jadi apa yang kami buat sekarang ini adalah fokus dengan pasukan kami dan juga ikut arahan ketua jurulatih baharu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu Kim Swee mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya dan berhijrah ke Indonesia untuk mengendalikan pasukan Persis Solo yang bersaing di Liga 1 Indonesia.

Dalam pada itu, Apek turut teruja apabila skuad The Rhinos berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia pada musim ini.

“Alhamdulillah, saya, rakan sepasukan dan peminat Sabah gembira kerana sudah lama kita tak pergi ke separuh akhir jadi kita akan buat persiapan yang terbaik.

Bagi saya sendiri selama tiga tahun bersama Sabah ini adalah kempen terbaik pasukan di Piala Malaysia dan sudah semestinya kita akan sasar lebih lagi tapi buat masa ini kita akan fokus dari satu per satu.”

Apek berkata demikian ketika ditemui di Football Republic Open Day yang berlangsung di Pavilion Elite Kuala Lumpur semalam.