Harap revolusi Harimau Malaya yang akan dibuat tidak lama lagi akan beri impak positif – Zaquan Adha
Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Zaquan Adha berharap revolusi bola sepak tanah air yang bakal dilakukan tidak lama lagi akan memberikan impak yang positif dan dikenali di serata dunia.
“Saya mengharapkan revolusi Harimau Malaya yang akan dibuat tidak lama lagi akan memberi impak positif dan saya juga mengharapkan Harimau Malaya akan dikenali di serata dunia selepas ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Zaquan lagi, beliau akan memberi sokongan penuh kepada usaha atau inisiatif untuk memajukan bola sepak tanah air.
“Sudah tentunya saya menyokong penuh revolusi yang akan dibuat. Apa sahaja yang mendatangkan kebaikan dalam arena bola sepak negara saya sangat-sangat menyokong dan mengharapkan yang terbaik buat Hairmau Malaya.”
Bola sepak negara akan melalui satu revolusi yang akan dilakukan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Projek revolusi itu sudah pun bermula apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih untuk skuad B-23.
Dalam pada itu, Zaquan turut mengulas mengenai prestasi pasukan kebangsaan yang tersingkir awal dari kejohanan Piala AMEC 2024 baru-baru ini yang mana beliau berkata kesemua pemain sudah memberikan yang terbaik.
“Saya nak ucapkan tahniah kepada pemain-pemain Harimau Malaya yang saya rasa mereka sudah berikan yang terbaik di Piala AMEC baru-baru ini.”
Pada kempen Piala AMEC edisi kali ini menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya mencatatkan satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.