Apa akan berlaku pada Liga Super jika banyak kelab tak dapat Lesen Kebangsaan?
Masalah kewangan dan isu kegagalan pembayaran gaji dalam bola sepak Malaysia bukanlah perkara baru.
Namun, situasi ini semakin membimbangkan apabila ia terus berlaku tanpa penyelesaian konkrit, malah memberi kesan langsung kepada kelangsungan Liga Super Malaysia.
Setiap musim, isu gaji tertunggak menjadi duri dalam daging kepada kelab-kelab di Liga Super dan musim 2024/25 tidak terkecuali, dengan beberapa pasukan sudah menghadapi masalah ini sebelum sepak mula liga.
Walaupun sebelum ini hanya beberapa kelab seperti Kedah Darul Aman FC, KL City FC dan Sabah FC yang dilaporkan berdepan masalah tersebut, namun kini timbul khabar angin baharu yang mendakwa sekurang-kurangnya enam kelab yang beraksi di Liga Super berdepan masalah gaji tertunggak.
Masalah yang tampak seperti tiada jalan penyelesaian ini sudah pastinya menjejaskan motivasi pemain sehingga ada yang membuat keputusan memboikot perlawanan.
Sebagai contoh, pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2024 di antara pasukan Kedah dan KL City menyaksikan pasukan Sang Kenari hanya mempunyai 12 pemain sahaja iaitu 11 di atas padang dan seorang pemain simpanan.
Perkara ini terjadi kerana segelintir pemain mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan tersebut dan ketua jurulatih sementara Victor Andrag sendiri mengakui beliau tidak tahu pemain manakah yang boleh diturunkan dan tidak tahu pemain akan turun latihan atau tidak.
Situasi yang berlaku ini boleh dikatakan cukup membimbangkan kerana saingan liga sudah lebih dari separuh musim dan apa yang menjadi tanda tanya kini adalah apakah yang akan berlaku pada saingan Liga Super musim 2025/26 sekiranya banyak kelab yang tidak mendapat Lesen Kebangsaan.
Lesen Kebangsaan merupakan syarat penting yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan kelab beroperasi secara profesional dan mematuhi piawaian yang ditetapkan. Kelab yang gagal memenuhi syarat ini – termasuk kewangan yang stabil dan pembayaran gaji tepat waktu – berisiko untuk tidak dibenarkan bertanding di Liga Super.
Jika banyak kelab tidak dapat Lesen Kebangsaan, beberapa kemungkinan buruk boleh berlaku:
- Pengurangan Pasukan: Liga Super mungkin perlu mengurangkan jumlah pasukan yang bertanding, yang secara langsung akan menjejaskan struktur liga.
- Kualiti Liga Merosot: Pasukan yang terjejas kewangan akan sukar menarik pemain berkualiti, sekaligus menurunkan standard permainan.
- Imej Liga Terjejas: Isu gaji tertunggak dan kegagalan mematuhi syarat lesen memberi gambaran buruk kepada pelabur dan penaja, yang sangat penting untuk kelangsungan liga.
Masalah ini memerlukan penyelesaian segera oleh pihak berkepentingan termasuk MFL, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), kelab dan juga pemain kerana jika ia tidak diselesaikan ke mana haluan liga selepas ini?
Tanpa tindakan segera, Liga Super berisiko kehilangan daya tarikannya sebagai liga utama negara.
Ini kerana kejayaan liga bukan sahaja bergantung kepada kehebatan beberapa pasukan sahaja, tetapi juga kepada kestabilan dan profesionalisme di luar padang.
Sekiranya banyak kelab tidak mendapat Lesen Kebangsaan ia bukan sekadar satu kegagalan, tetapi ia akan memberi tamparan hebat kepada bola sepak Malaysia.