Selangor FC, KDA FC & PDRM FC! Pasukan manakah akan julang Piala Cabaran musim ini?

439

Piala Cabaran 2024/25 sudah memasuki peringkat separuh akhir dengan empat pasukan iaitu juara bertahan PDRM FC, Kedah Darul Aman FC (KDA), Selangor FC dan Penang FC bakal membuat percaturan untuk merebut slot ke perlawanan akhir.

Berdasarkan empat pasukan yang akan berentap di separuh akhir, tiga pasukan utama iaitu Selangor, KDA dan PDRM dilihat sebagai pencabar utama untuk merebut trofi pada edisi kali ini selepas memperlihatkan prestasi terbaik mereka sepanjang kempen Piala Cabaran.


PDRM mahu kekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut

Pada saingan Piala Cabaran musim ini, PDRM turun dengan status sebagai juara bertahan yang mana pada musim lepas mereka merupakan pasukan yang diberi gelaran sebagai ‘the giants killer’. Ini kerana pada musim lalu, beberapa pasukan gergasi menjadi mangsa mereka.

Biarpun skuad The Cops tidak mempunyai bajet besar, tetapi semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh setiap individu dalam pasukan telah membawa mereka mencapai kejayaan.

Untuk aksi separuh akhir nanti, PDRM akan turun menentang pasukan bermasalah Kedah yang kini sedang bergelut dengan masalah kewangan yang agak parah, tapi ia bukan bermakna mereka akan menyerah kalah dengan mudah. Tambahan pula pada musim ini PDRM sudah tewas kepada Kedah pada aksi Liga Super, jadi mereka perlu lebih berhati-hati.

Kebangkitan Sang Kenari

Tidak dapat dinafikan pasukan KDA kini berada dalam situasi yang cukup getir berikutan masalah kewangan yang berlaku dan sehingga kini belum dapat diselesaikan. Ia telah menjejaskan prestasi pasukan kerana dek masalah tersebut ada segelintir pemain yang mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan (seperti yang berlaku ketika pusingan 16 Piala Malaysia).

Keadaan ini menyebabkan ketua jurulatih sementara iaitu Victor Andrag sendiri tidak dapat membuat perancangan rapi berikutan tidak tahu pemain mana yang mahu bermain, tapi ia tidak bermakna mereka akan mengalah begitu sahaja.

Ini kerana dengan situasi semasa, pasukan Hijau Kuning tetap mempamerkan corak permainan yang cukup menarik dan kekurangan pemain berkualiti menjadi faktor mereka tewas tapi berjaya mara ke separuh akhir Piala Cabaran akan memberi motivasi tambahan buat mereka kerana ia adalah peluang terbaik untuk mereka merangkul sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini. Jadi awas PDRM!

Selangor, pasukan pilihan untuk julang trofi Piala Cabaran musim ini

Kehadiran pasukan gergasi Selangor dalam kejohanan Piala Cabaran ini cukup mengejutkan ramai selepas mereka tersingkir awal dari Piala Malaysia berikutan tewas kepada Sri Pahang FC pada aksi pusingan 16 kerana mereka adalah salah sebuah pasukan pilihan yang dijangka mampu melangkah ke peringkat akhir.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi mereka dan kini skuad The Red Giants beraksi dalam Piala Cabaran dan mereka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Kelantan Darul Naim FC dengan keputusan 8-1 secara agregat.

Oleh itu Selangor dilihat tidak akan berdepan masalah besar apabila turun bertemu dengan Penang nanti berikutan pasukan lawan kini sedang bergelut dek prestasi ‘yoyo’ sepanjang musim ini. Berdasarkan situasi semasa, Selangor dilihat sudah selangkah ke perlawanan akhir dan menjadi pilihan untuk menjulang trofi kejuaraan kali ini.

Bagi penyokong bola sepak tempatan, kehadiran tiga pasukan ini sebagai pencabar utama Piala Cabaran pasti akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus menyokong dari stadium mahupun di hadapan skrin. Apa yang pasti, Piala Cabaran 2024/25 menjanjikan aksi yang mendebarkan dan penuh dengan drama.

Adakah Selangor akan meneruskan dominasi mereka, atau KDA dan PDRM mampu mencipta kejutan? Sama-sama kita nantikan!

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen