Kelantan FC mampu julang trofi Liga Perdana
Pasukan Kelantan FC memulakan musim 2022 dengan langkah kanan apabila melihat prestasi positif sepanjang pra-musim ini, jadi tidak hairan apabila mereka menjadi pilihan untuk menjuarai Liga Perdana 2022.
Sejak diambil oleh ahli perniagaan, Norizam Tukiman atau lebih dikenali Zamsaham, pasukan yang diberi jolokan The Red Warriors dilihat semakin memperlihatkan peningkatan mendadak.
Misi utama Zamsaham ketika mengambil alih Kelantan adalah untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka sebelum ini.
Dengan penyokong yang sememangnya terkenal dengan semangat fanatic, Kelantan telah pun berjaya menjual pas bermusim yang mana jumlah jualan dilaporkan mencecah RM1.3 juta.
Ia telah membuktikan bahawa peminat sudah mula percaya dengan perubahan yang dibawa oleh Zamsaham, sekaligus mahu kembali menyokong pasukan kesayangan mereka.
Selepas beberapa musim beraksi dalam saingan Liga Perdana, Kelantan pada musim ini dilihat bakal memberi saingan sengit kepada pasukan lain di Liga Perdana, malah mereka juga diramal mampu menjuarai sekaligus kembali ke Liga Super.
Baru-baru ini Kelantan menjadi satu-satunya pasukan dari Liga Perdana yang dijemput untuk beraksi dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya bersama Sabah FC, Kedah Darul Aman FC dan Sarawak United FC.
Dalam tiga perlawanan, Kelantan hanya tewas di tangan Kedah sahaja dengan jaringan tipis 0-1, bagaimana pun berjaya menumpaskan Sabah dan Sarawak sekaligus berjaya menduduki tempat kedua.
Untuk musim ini Kelantan mengekalkan 11 pemain dari musim lalu dan membawa masuk 24 pemain baru.
Beberapa pemain tempatan dari Liga Super turut memperkuatkan skuad kendalian Rezal Zambery ialah Farhan Roslan, Khairul Helmi, Amirul Hamer, Solehin Mamat, Jasmir Mehat dan beberapa lagi.
Manakala mereka membawa masuk tiga pemain import iaitu Nixon Guylherme (Brazil), Kervens Belfort (Haiti) dan Fadel Antar (Lubnan).
Biarpun melakukan rombakan besar-besaran dalam pasukan, namun pertaruhan itu nyata membuahkan hasil apabila melihat keputusan-keputusan perlawanan yang cukup memberangsangkan.
Kalah menang bukanlah ukuran sebenar dalam aksi pra-musim, sebaliknya ia adalah tempoh untuk jurulatih mencari keserasian pemain yang mampu membawa taktikal seperti yang dimahukan.
Berdasarkan reaksi daripada peminat yang menonton perlawanan-perlawanan pra-musim Kelantan, rata-rata daripada mereka nyata teruja melihat aksi persembahan yang cukup menyakinkan.
Jadi, mampukah Kelantan mengulangi kejayaan seperti yang mereka pernah kecapi dari tahun 2009 hingga 2014?