Saya tak menyesal datang ke KDA FC – Milos Gordic
Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA), Milos Gordic memberitahu beliau tidak pernah berasa menyesal langsung biarpun sering menjadi kritikan peminat kerana percaya mereka mempunyai skuad yang bagus tapi tidak dapat tunjukkan potensi sebenar dek masalah kewangan yang berlaku.
“Saya tak menyesal datang ke KDA FC. Saya tahu semua orang akan kata saya sangat pelik kerana saya adalah pemain yang paling banyak dikritik di sini, tetapi saya seorang yang sukakan cabaran dan berada di sini memang satu cabaran yang besar.
Sejujurnya, saya berasa terganggu dengan keadaan kelab tidak teratur seperti tahun-tahun sebelumnya yang mana ketika itu KDA mampu untuk memenangi perlawanan besar dan julang tofi.
Saya rasa kami mempunyai pasukan yang cemerlang, tetapi dalam keadaan kekurangan kewangan dan penaja menyebabkan pasukan tidak dapat menunjukkan potensi sebenar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Milos lagi, situasi kewangan yang berlanjutan sememangnya memberi impak besar kepada kesemua pemain dan mereka kecewa kerana merasakan pasukan mempunyai potensi besar untuk menjadi pencabar utama liga musim ini.
“Ia memang sukar untuk memotivasikan diri apabila situasi semasa kelab seperti ini. Kami mempunyai jurulatih yang bagus, Nafuzi Zain dan pasukan yang sangat bagus tapi situasi semasa mempengaruhi kami sehingga sekarang.”
Susulan masalah kewangan yang parah, Nafuzi Zain mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya dengan lebih awal dan baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pelantikan jurulatih berkaliber itu sebagai ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan bawah 23 tahun.
Tidak hanya jurulatih, kapten pasukan Sony Norde turut mengambil keputusan sama untuk ‘angkat kaki’ kerana masalah gaji yang dihadapinya.
Dalam pada itu, Milos berkata sekiranya kelab dapat diuruskan dengan baik seperti sebelum ini, Sang Kenari akan kembali menjadi pasukan yang disegani.
“Kami mempunyai bakat, jurulatih dan penyokong yang luar biasa. Apa yang diperlukan hanyalah kestabilan dan sokongan yang berterusan.”
Sementara itu, Milos turut mengucapkan penghargaannya kepada penyokong Hijau Kuning atas sokongan tidak berbelah bahagi dan beliau menyeru untuk mereka teruskan sokongan kerana pasukan memerlukan sokongan mereka untuk terus berjuang bagi mengharungi baki saingan musim ini.