Gaji siling mungkin boleh jadi penyelesaian masalah kewangan dalam Liga Malaysia yang semakin meruncing?
Liga Malaysia dan masalah gaji boleh dikatakan ‘seperti isi dengan kuku’ kerana ia berlaku saban musim dan musim 2024/25 lebih parah lagi apabila belum pun saingan liga bermula sudah kedengaran masalah gaji berlaku.
Masalah gaji tidak hanya berlaku kepada Liga Super sahaja tetapi turut berlaku di liga bawahan seperti Piala Presiden, Piala Belia dan juga liga semi-profesional Liga A1 dan melihat kepada situasi semasa ia tampaknya seperti tiada jalan penyelesaiannya.
Banyak pemain yang tampil membuat pendedahan tidak mendapat gaji sehingga tujuh bulan sekaligus menyaksikan mereka terpaksa ‘mengemis’ gaji sendiri dan pihak pengurusan kelab seperti tidak mengambil tindakan proaktif dalam menangani masalah ini.
Kelab besar seperti Kedah Darul Aman FC (KDA) antara yang paling bermasalah sehingga ketua jurulatih Nafuzi Zain menamatkan kontraknya, kapten pasukan Sony Norde ‘angkat kaki’ dan segelintir pemain mengambil tindakan memboikot perlawanan dek masalah gaji yang tidak berkesudahan.
Antara faktor yang menyumbang kepada masalah kewangan berlaku berpunca daripada perbelanjaan yang tidak seimbang dengan pendapatan dan antara faktor utama:
Gaji pemain yang tinggi
Kelab sering berbelanja besar untuk mendapatkan pemain bintang demi mengejar kejayaan segera. Namun, tanpa pendapatan yang stabil daripada penaja, jualan tiket, atau hak penyiaran, perbelanjaan ini menjadi beban yang sukar ditanggung.
Pengurusan kewangan yang lemah
Beberapa kelab tidak mempunyai struktur pengurusan kewangan yang kukuh, menyebabkan perancangan jangka panjang terabai.
Ketiadaan pendapatan konsisten
Dengan kehadiran penonton yang tidak menentu dan kekurangan hak penyiaran yang signifikan, banyak kelab bergantung sepenuhnya kepada sokongan kerajaan negeri atau penaja tunggal, yang tidak menjamin kestabilan.
Cadangan memperkenalkan gaji siling pernah disuarakan sebelum ini, namun ia tidak diterima atas sebab-sebab tertentu tetapi memandangkan masalah kewangan semakin parah umpama barah, mungkinkah sudah tiba masanya untuk memperkenalkan gaji siling sebagai salah satu jalan penyelesaian masalah kewangan dalam Liga Malaysia.
Bagi yang tidak mengetahui tentang gaji siling, ia adalah merujuk kepada had maksimum jumlah wang yang boleh dibelanjakan oleh sesebuah kelab untuk menggaji pemain dalam tempoh tertentu.
Sistem ini ini telah digunakan secara meluas dalam liga bola sepak dan sukan lain di seluruh dunia, termasuk Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat antara kebaikannya adalah:
- Kestabilan kewangan
Dengan memperkenalkan gaji siling, kelab akan lebih berhati-hati dalam menguruskan bajet mereka, mengelakkan perbelanjaan melampau yang boleh membawa kepada ‘gulung tikar’.
- Persaingan lebih seimbang
Gaji siling boleh membantu mengurangkan jurang antara kelab besar dan kecil. Kelab yang mempunyai sumber kewangan terhad masih boleh bersaing dengan kelab kaya, menjadikan liga lebih menarik dan kompetitif.
- Fokus kepada pembangunan pemain muda
Apabila kelab tidak lagi mampu bergantung kepada pemain bintang yang mahal, mereka akan lebih terdorong untuk melabur dalam akademi dan pembangunan pemain muda, yang baik untuk jangka panjang bola sepak Malaysia.
- Mengurangkan tekanan pemain dan pengurusan
Pemain tidak lagi dibayar di luar kemampuan kelab, dan pengurusan tidak perlu bergelut dengan hutang untuk memenuhi tuntutan gaji tinggi.
Setiap perkara yang ingin dilakukan pastinya akan mempunyai sisi sebalik kebaikan iaitu cabaran dalam pelaksanaan antaranya:
- Penetapan had gaji
Bagaimana untuk menentukan had gaji yang sesuai tanpa menjejaskan daya saing kelab di peringkat antarabangsa?
- Pemantauan dan penguatkuasaan
Perlu ada badan bebas yang memantau pematuhan terhadap gaji siling ini. Jika tidak, kelab mungkin mencari cara untuk “mengelak” peraturan ini, seperti melalui bonus tersembunyi atau kontrak luar.
- Penerimaan kelab dan pemain
Kelab besar yang sudah terbiasa berbelanja besar mungkin menolak cadangan ini. Pemain pula mungkin memilih untuk berhijrah ke liga luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi.
Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan diambil, tapi masalah kewangan yang parah dalam Liga Malaysia memerlukan penyelesaian secara drastik dan berkesan, jadi memperkenalkan gaji siling mungkin akan tampak seperti langkah besar, tetapi ia berpotensi membawa kestabilan jangka panjang kepada liga dan kelab-kelab yang bertanding.
Ia bukan dapat menyelamatkan kelab-kelab daripada kemulut kewangan, tetapi juga dapat membuka jalan untuk pembangunan bola sepak yang lebih mampan.
Perancangan rapi dan sokongan daripada semua pihak, termasuk kelab dan pemain amat penting untuk melaksanakan gaji siling ini.