Beberapa pemain PJCRC telah sertai Spain Rush-SPF – John Chow
Jurulatih kelab PJCRC, John Chow gembira melihat perkembangan pemain-pemainnya yang mana ada beberapa pemainnya menyertai akademi bola sepak di Eropah iaitu di Spain Rush-SPF di Valencia.
John pada masa sama turut memberitahu ada pemain-pemainnya yang mendapat tawaran daripada kelab lain termasuk Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kebanyakan pemain kami dari dua pasukan tahun lalu telah pergi ke tempat lain. Salah seorangnya telah menyertai JDT U16 iaitu Isaac Tan yang baru sahaja menandatangani kontrak dengan JDT.
Selain itu beberapa pemain lain telah pergi ke Sepanyol ke akademi Spain Rush-SPF di Valencia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut John, beliau berasa sangat gembira apabila dapat melihat anak didiknya berjaya mendapat perhatian daripada pihak luar.
Beliau pada masa sama turut gembira melihat perkembangan bola sepak terutamanya dalam kalangan masyarakat yang mana ia semakin melibatkan diri dalam sukan itu.
“Kami sangat bangga terutamanya untuk masyarakat Cina. Sudah bertahun-tahun lamanya kita tidak melihat ramai pemain Cina dalam bola sepak Malaysia.
Jika dahulu pada era 80an dan 90an kita mempunyai ramai pemain Cina, jadi kami berharap dapat melahirkan lebih ramai pemain Cina di Malaysia.”
Tambahnya lagi, beliau meletak harapan untuk melahirkan ramai pemain Cina yang mampu bermain di peringkat tertinggi.