Era baharu bola sepak Malaysia bermula: Rob Friend sah dilantik sebagai CEO Harimau Malaya

1,687

Penantian seluruh peminat bola sepak tanah air untuk mengetahui individu yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan Malaysia akhirnya terjawab juga apabila Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dilantik untuk menjawat jawatan tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media rasmi yang menyatakan bahawa pelantikan Rob Friend merupakan langkah strategik dalam merevolusikan struktur pasukan kebangsaan.


Rob Friend merupakan bekas penyerang antarabangsa Kanada, membawa rekod cemerlang sepanjang kariernya termasuk pernah bermain untuk kelab-kelab ternama seperti Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, dan LA Galaxy, serta mencatatkan 32 penampilan untuk pasukan kebangsaan Kanada antara 2003 hingga 2011.

Selepas bersara pada 2014, Friend menceburi bidang pengurusan bola sepak dengan portfolio luar biasa. 

Beliau menjadi pengasas bersama Canadian Premier League (CPL), liga profesional bola sepak Kanada, yang berjaya meningkatkan nilai liga daripada sifar kepada AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.

Beliau juga memegang jawatan penting dalam dua kelab CPL, Pacific FC dan Vancouver FC, menerajui pembangunan kelab, pembangunan infrastruktur, dan operasi strategik yang menjadikan kedua-dua kelab tersebut bertaraf tinggi di Kanada.

Dalam pada itu, struktur baharu yang diperkenalkan oleh FAM, Rob Friend akan memainkan peranan utama sebagai CEO pasukan kebangsaan, menguruskan semua perancangan dan program yang melibatkan skuad senior dan skuad B-23. 

Dengan pengalaman luas dalam pembangunan kelab, pengurusan kewangan, dan rundingan penajaan, Friend diharap dapat membawa pendekatan profesional yang segar untuk memantapkan lagi Harimau Malaya.

Selain itu, beliau juga akan memastikan tenaga kerja dalam organisasi pasukan kebangsaan dilengkapi dengan individu berkemahiran tinggi dan berpengalaman dalam pelbagai aspek, termasuk pembangunan pemain, kejurulatihan, dan pengurusan kelab.

Pelantikan Friend ini adalah susulan pengumuman FAM pada 16 Disember 2024 mengenai pelantikan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad B-23. 

Barisan kepimpinan ini dilihat sebagai usaha untuk membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Friend memulakan tugas rasmi di Wisma FAM pada Januari 2025, harapan besar diletakkan pada bahunya untuk menyuntik perubahan positif dalam bola sepak Malaysia. 

Pengalaman beliau dalam meningkatkan nilai kelab dan liga di Kanada diharap dapat diterapkan di Malaysia, membawa pasukan kebangsaan ke arah pencapaian yang lebih cemerlang.

FAM dan peminat bola sepak tanah air kini menanti dengan penuh debaran untuk melihat bagaimana struktur organisasi baharu ini, di bawah kepimpinan Rob Friend, akan membawa Harimau Malaya mengaum lebih kuat di pentas dunia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen