Faisal Halim teruja dengan projek revolusi dan berharap akan diberi peluang kembali sarung jersi Harimau Malaya
Pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim teruja dengan projek revolusi pasukan kebangsaan Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan menaruh harapan agar diberi peluang untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Menurut Faisal, perubahan besar yang berlaku akan memberikan semangat baru buat pemain-pemain.
“Sudah tentu, bila ada perubahan yang drastik, pemain-pemain lebih semangat. Kita nak tunggu apa lagi yang akan datang, pemain-pemain akan rasa aura yang baru jadi saya harap peluang dan ruang saya masih ada.
Sekiranya tak ada, saya tetap macam biasa, saya ‘enjoy’ macam biasa dengan pasukan saya di Selangor FC,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey memberitahu beliau kini sedang dalam proses untuk kembali mendapatkan semula prestasi terbaiknya selepas melalui detik hitam sebelum ini.
“Dah, dah tak ada apa-apa. Sekarang ini saya hanya fokus untuk mencari saya punya prestasi yang terbaik.”
Bagi penyokong, Mickey adalah inspirasi yang membuktikan bahawa kecekalan dan semangat tidak pernah pudar walau dalam situasi mencabar.
Dalam pada itu, Mickey yang pulang ke kampung halaman susulan saingan liga berehat seketika mengambil peluang untuk menjadi jurulatih untuk akademi bola sepak miliknya iaitu Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim yang beraksi di Kejohanan Bola Sepak Madani Permatang Pauh B-12 baru-baru ini.
“Ini adalah pengalaman pertama saya bawa pasukan yang mana saya sendiri yang melatih mereka. Bukan mudah sebenarnya, tambahan pula nak jaga adik-adik yang baru nak faham dengan bola sepak.
Bukan senang tapi saya tunjuk, saya bagi minat mereka, minat saya dekat mereka. Apa yang saya boleh bagi, saya bagi, saya ajar apa yang saya buat supaya mereka dapat tangkap.”
Tambahnya lagi, beliau juga kagum melihat disiplin pemain-pemainnya yang komited turun latihan.
“Budak-budak ini sangat bersemangat. Bila saya kata latihan pukul 5.30, pukul 4.00 mereka sudah datang padang. Itu membuatkan saya bangga.”
Sementara itu, beliau berharap usaha yang dilakukannya ini dapat melahirkan generasi pemain bola sepak yang lebih berkualiti dan berdisiplin.