Peluang Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 cerah dengan kehadiran barisan kepimpinan baharu

624

Bola sepak Malaysia kini sedang dalam fasa penstrukturan semula selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengorak langkah besar dalam merevolusikan skuad Harimau Malaya dengan menampilkan barisan kepimpinan baharu yang dilihat berpotensi membawa pasukan kebangsaan ke tahap lebih tinggi.

Transformasi besar dalam arena bola sepak Malaysia sedang berlaku, dengan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), menjadi pencetus utama revolusi ini bertujuan untuk membawa perubahan menyeluruh dalam struktur pengurusan, pembangunan pemain, dan prestasi pasukan kebangsaan, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar bola sepak Asia.


Projek ini bermula dengan penyusunan semula struktur organisasi pasukan kebangsaan yang menyaksikan FAM telah membuat pelantikan pemimpin berkaliber iaitu Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan; Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dan Dr. Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan pasukan kebangsaan.

Kehadiran individu-individu berprofil tinggi ini secara tidak langsung memberi harapan baharu buat peminat bola sepak tanah air dan impian untuk melihat skuad negara ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi tampak semakin cerah.

Rob Friend: Peneraju baharu organisasi pasukan kebangsaan

Rob Friend, bekas pemain antarabangsa Kanada dan seorang pengurus bola sepak yang berpengalaman, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya. Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan struktur organisasi dan pengurusan pasukan kebangsaan.

Sebagai seorang bekas penyerang yang pernah beraksi di liga terkemuka seperti Bundesliga bersama Borussia Mönchengladbach dan Eintracht Frankfurt, serta LA Galaxy di Major League Soccer, Friend membawa pengalaman luas dalam bola sepak profesional. 

Selepas bersara pada 2014, beliau melibatkan diri secara aktif dalam bidang pengurusan sukan, termasuk menjadi salah seorang pengasas Canadian Premier League (CPL). Keupayaannya membangunkan CPL dari sifar kepada nilai AS$300 juta dalam masa enam tahun menjadi bukti kebolehannya dalam mentadbir dan membangunkan struktur bola sepak yang kukuh. 

Friend juga pernah menerajui pembangunan kelab seperti Pacific FC dan Vancouver FC, membuktikan kepakaran beliau dalam pengurusan kelab, pembangunan stadium, dan pelaburan strategik.

Peter Cklamovski dan Dr. Craig Duncan: Pakar antarabangsa untuk Harimau Malaya

Bersama Friend, FAM juga memperkenalkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan. Cklamovski, yang terkenal dengan falsafah bola sepak moden dan pendekatan taktikal yang progresif, bakal memberi dimensi baharu kepada corak permainan skuad Harimau Malaya.

Dalam masa yang sama, Dr. Craig Duncan, saintis sukan terkemuka dari Australia, telah dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan pasukan kebangsaan. Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang sains sukan, beliau telah membantu pasukan seperti Socceroos meraih kejuaraan Piala Asia 2015 dan Western Sydney Wanderers menjuarai AFC Champions League (ACL).

Dr. Craig membawa pendekatan holistik dalam mengurus prestasi pemain, dengan fokus kepada kecergasan fizikal, pemulihan, pemakanan, dan psikologi sukan. Beliau juga bercadang membangunkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk bola sepak Malaysia, yang akan diterapkan di semua peringkat pasukan kebangsaan dan liga domestik.

Harapan menuju Piala Asia 2027

Gabungan tiga tokoh berpengalaman ini dijangka membawa perubahan besar kepada Harimau Malaya. Rob Friend akan memacu pengurusan strategik pasukan, Peter Cklamovski akan memastikan taktik dan corak permainan berada pada tahap terbaik, manakala Dr. Craig Duncan akan memperkukuhkan aspek prestasi fizikal dan mental pemain.

Visi baharu ini tidak hanya memberi fokus kepada pasukan senior, tetapi turut melibatkan pembangunan skuad B-23 dan bola sepak wanita, memastikan kesinambungan kejayaan di semua peringkat. 

Dengan perancangan ini, peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 semakin cerah dan para penyokong sudah pastinya menantikan aksi Harimau Malaya di bawah bimbingan barisan kepimpinan baharu ini, yang diharap mampu membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi di persada Asia.

Sementara itu, pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac 2025 menyaksikan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.

Misi dan sasaran utama adalah untuk memastikan skuad negara mengutip mata semaksimum yang mungkin kerana hanya juara kumpulan akan mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia.

Please rotate your device