Tolak keganasan dalam bola sepak: Budiman FC disingkirkan dari Arena Champion League 2024
Tiada tempat untuk keganasan dalam bola sepak! Pihak penganjur Arena Champion League 2024 telah membuat keputusan tepat apabila menggugurkan pasukan Budiman FC dari saingan liga musim ini.
Arena Champion League menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat susulan insiden keganasan dan pelanggaran tataterbit yang berlaku sepanjang penyertaan pasukan itu.
Insiden keganasan itu telah mencetuskan kecaman masyarakat sekaligus memaksa pihak penganjur mengambil tindakan sewajarnya.
Kronologi insiden yang membawa kepada keputusan drastik itu:
- Kecederaan Fizikal pada Perlawanan Peringkat Kumpulan
Mohd Shahrul Ramli, pemain Budiman FC, dikenakan penggantungan dua perlawanan selepas menerjah pemain Fusion City 2 FC, Mohamad Azirul Abdullah, sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian dada. Insiden ini berlaku pada perlawanan peringkat kumpulan pada 19 November 2024 dan mendapat kecaman masyarakat kerana mencemarkan semangat kesukanan.
- Tindakan Kekasaran di Separuh Akhir
Pada perlawanan separuh akhir menentang Amna FC pada 24 Disember 2024, pemain Budiman FC, Mohamad Aikal Saleh, dengan sengaja menumbuk pemain lawan, Muhammad Nor Hakim Ahmad, sehingga mencederakan bahagian muka. Tindakan ini mendapat layangan kad merah serta mencetuskan kontroversi di media sosial, memperburuk imej Budiman FC.
- Pergaduhan Kolektif
Perlawanan separuh akhir antara Budiman FC dan Amna FC dicemari dengan beberapa insiden pergaduhan. Budiman FC menerima lima kad kuning dan satu kad merah, manakala Amna FC hanya menerima satu kad kuning. Insiden ini menjadikan perlawanan tidak terkawal dan mencemarkan semangat persaingan sihat.
Keputusan tersebut sekaligus menyaksikan perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara Budiman FC dan Panther FC dibatalkan.
Dalam pada itu, semua pihak perlu menolak keganasan dalam bola sepak dan setiap pasukan dan pemain perlu menghormati dan mengikut peraturan dan etika permainan demi memastikan bola sepak kekal sebagai sukan yang menyatukan dan menginspirasi.
Insiden yang berlaku harus menjadi pengajaran kepada smeua pihak, termasuk pemain, jurulatih, pengurusan pasukan untuk mengutamakan disiplin, semangat kesukanan dan profesionalisme.