Tan Cheng Hoe percaya Kedah akan terus menjadi kilang ‘ubi muda’
Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan Kedah Darul Aman FC, Tan Cheng Hoe menyuarakan keyakinan beliau bahawa negeri Kedah akan terus menjadi kilang ‘ubi muda’ atau melahirkan ramai pemain berkualiti.
“Sejak 89an, 90an dan sehingga kini, Kedah telah melahirkan ramai pemain muda berbakat yang berjaya ke Liga Super dan pasukan utama Kedah. Apa yang penting ialah galakan daripada Ibu bapa dan penganjuran pertandingan oleh pihak sekolah dan komuniti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Cheng Hoe turut optimis bahawa dengan sokongan berterusan dari pelbagai pihak, Kedah akan terus melahirkan pemain-pemain muda yang bukan sahaja berbakat tetapi juga mempunyai semangat juang tinggi untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan peringkat akar umbi SJKC Championship Kedah yang berlangsung di Gurun, Kedah baru-baru ini.
Dalam pada itu, Cheng Hoe juga gembira melihat perkembangan positif dalam bola sepak di peringkat akar umbi terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah di mana beliau dapat melihat peningkatan ketara dalam minat serta kemahiran anak-anak muda yang terlibat.
“Ya, memang satu perkembangan yang positif. Ada lebih ramai anak-anak murid, ada peningkatan, ada bakat-bakat yang besar. Pertandingan bola sepak memberikan motivasi terbaik kepada mereka untuk terus berlatih dan bersungguh-sungguh.”
Oleh itu, Cheng Hoe berharap penganjuran pertandingan bola sepak seperti ini dapat dilakukan secara konsisten kerana baginya kejohanan seperti ini bukan Sahaja memberikan pengalaman, malah menjadi dorongan kepada mereka untuk memperbaiki diri dan mencapai prestasi yang lebih baik.
Sementara itu, Cheng Hoe juga berkata sokongan daripada ibu bapa sangat penting dalam memastikan anak mereka tidak hanya fokus kepada sukan sahaja tetapi juga pada pelajaran.
“Akademik penting, begitu juga sukan. Sukan membantu dari segi kesihatan dan kecerdasan minda, sekaligus memberi anak-anak masa depan yang lebih baik.
Sebagai Ibu bapa, kita perlu memantau kedua-dua aspek ini supaya mereka dapat berkembang secara holistik.”
Tidak hanya di Kedah sahaja, beliau juga berharap lebih banyak pihak akan tampil untuk menyokong pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, agar bola sepak Malaysia terus maju dan melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia.