Kami akan cuba mara ke final MFL Challenge Cup biarpun sedar ia sangat sukar – Milos Gordic
Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA), Milos Gordic mengakui cabaran besar menanti mereka pada perlawanan separuh akhir MFL Challenge Cup 2024 menentang juara bertahan PDRM FC pada 18 Januari nanti.
Menurut Gordic, disebalik pelbagai masalah yang melanda kelab itu namun beliau dan rakan sepasukan akan terus berjuang untuk mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir biarpun sedar ia sangat sukar.
“Kami menghadapi banyak masalah, ramai pemain telah meninggalkan kami, tapi kami akan terus berjuang seperti biasa dan akan cuba untuk mara ke final walaupun ia sangat sukar.
PDRM adalah sebuah pasukan yang bagus, tetapi kami optimis untuk memberikan yang terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pasukan KDA kini berada dalam situasi getir apabila dilanda masalah kewangan yang cukup teruk sehingga ketua jurulatih Nafuzi Zain menamatkan kontraknya dan kapten pasukan Sony Norde ‘angkat kaki’.
Susulan itu, pasukan itu kini dikendalikan oleh Victor Andrag sebagai ketua jurulatih interim yang mana ia cukup mencabar buat beliau berikutan tidak dapat membuat perancangan dan persiapan rapi dek tidak tahu pemain manakah yang akan turun berlatih.
Dalam pada itu, disebalik kemelut yang sedang melanda pasukan Gordic meluahkan penghargaannya buat peminat setia Sang Kenari yang berada di belakang mereka pada waktu sukar ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat setia Kedah atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka. Mereka memahami masalah yang sedang dihadapi oleh kelab dan sekarang ini kami sangat memerlukan sokongan untuk melalui musim ini dan memastikan kelab terus hidup.”
Tambahnya lagi, tahun ini merupakan ulang tahun ke-100 pasukan Hijau Kuning oleh itu Gordic berkata pasukan kini sangat memerlukan sokongan peminat untuk turun ke stadium bagi memberi semangat untuk mereka berjuang.
Sementara itu, sebagai sebuah kelab yang sarat dengan sejarah dan tradisi, Kedah akan terus berjuang demi mempertahankan martabat mereka, meskipun dalam keadaan yang sukar.