Walaupun menyumbang besar dalam revolusi bola sepak Indonesia, PSSI akhirnya pecat Shin Tae-yong

1,568

Dunia bola sepak di negara jiran Indonesia kecoh apabila Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil keputusan drastik dengan memecat ketua jurulatih mereka, Shin Tae-yong.

Pengumuman rasmi itu diumumkan menerusi saluran rasmi PSSI TV di mana Presiden PSSI iaitu Erick Thohir berkata keputusan tersebut dibuat adalah untuk kepentingan pasukan kebangsaan secara keseluruhan.


Menurut Thohir, tindakan ini bertujuan memastikan kepimpinan pasukan sejajar dengan strategi yang dipersetujui oleh pemain, selain memperbaiki komunikasi dan pelaksanaan program latihan pasukan.

Dalam pada itu, sejak memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Garuda selama empat tahun beliau berjaya membawa perubahan besar dalam bola Sepak Indonesia.

Beliau tidak hanya mengendalikan skuad senior, tetapi juga skuad B-23 dan skuad B-20.

Di bawah bimbingan Tae-yong, pasukan kebangsaan Indonesia menunjukkan peningkatan ketara, terutama dalam aspek taktikal dan disiplin permainan.

Malah, kontraknya yang diperbaharui sehingga 2027 tahun lalu menunjukkan keyakinan awal PSSI terhadap kemampuannya.

Bagaimanapun, PSSI berpendapat bahawa dinamik pasukan memerlukan penilaian semula. 

Walaupun pencapaian Tae-yong memberi impak besar, Thohir menegaskan bahawa bola sepak adalah tentang bergerak ke hadapan dengan visi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak pasukan, oleh itu keputusan tersebut terpaksa dibuat.

Sementara itu, Indonesia yang sudah mengesahkan tempat mereka di Piala Asia 2027 kini sedang berjuang dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan kini di landasan tepat untuk mencipta sejarah.

Walaupun perpisahan ini mungkin sukar, para peminat bola sepak Indonesia tetap berharap agar keputusan ini membawa kebaikan jangka panjang bagi bola sepak tanah air. 

Tae-yong akan tetap diingati sebagai jurulatih yang memainkan peranan penting dalam mengubah landskap bola sepak Indonesia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen