Oscar Romero akan terima tawaran lumayan JDT atau pilih kekal di Amerika Selatan?

1,985

Pemain tengah kebangsaan Paraguay, Oscar Romero kini menjadi rebutan selepas kontraknya bersama Botafogo tamat dengan pasukan gergasi daripada Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan telah membuat tawaran lumayan untuk mendapat pemain itu.

Selain JDT, dua kelab seperti Cerro Porteno dari Paraguay dan Junior de Barranquilla dari Colombia turut menyatakan minat tetapi tidak mampu untuk menawarkan kontrak lumayan seperti yang ditawarkan oleh JDT iaitu USD2.5 juta (kira-kira RM11 juta) sekaligus mencetuskan persoalan ke mana destinasi pemain itu selepas ini.


Berdasarkan kontrak lumayan yang ditawarkan oleh JDT memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mendapatkan pemain itu bagi memperkuatkan pasukan terutamanya dalam saingan di peringkat Asia iaitu AFC Champions League Elite (ACLE).

Dengan usia 32 tahun, Romero yang dikenali dengan visi luar biasanya di atas padang dan kemampuan mengawal tempo perlawanan menjadi salah satu aset berharga buat pasukan yang mendapatkannya.

Tidak hanya itu, pengalaman luas bermain bersama pasukan kebangsaan Paraguay termasuk pengalaman bermain di liga-liga terkemuka di Amerika Selatan menjadikannya pemain itu prospek menarik untuk mana-mana kelab.

Pasukan Harimau Selatan yang berada dalam kumpulan Rantau Timur untuk saingan ACLE kini berada di kedudukan keenam sudah tentunya mahu mereka mendapatkan keputusan positif dalam baki dua perlawanan menentang Central Coast Mariners (Australia) dan Pohang Steelers (Korea Selatan).

Ini kerana JDT perlu menamatkan saingan peringkat liga dalam kelompok lapan pasukan terbaik untuk mencipta sejarah melangkah ke peringkat kalah mati.

Apa pun kini segalanya bergantung kepada keputusan Romero sendiri sama ada beliau mahu mencipta sejarah bersama JDT atau kekal di Amerika Selatan untuk cabaran lain.

Nantikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen