Melaka FC di landasan tepat untuk julang kejuaraan sulung Liga A1

115

Pasukan Melaka FC kini semakin hampir untuk mencatat sejarah dalam saingan liga semi-profesional Liga A1 apabila mereka berada di puncak liga dengan kelebihan tiga mata.

Dengan baki hanya enam perlawanan lagi, pertembungan menentang juara bertahan Imigresen FC bakal menjadi penentu sama ada Melaka mampu melakar kejuaraan sulung yang dinanti-nantikan.


Untuk saingan musim ini, Melaka telah mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang sepanjang musim ini di mana selepas 22 perlawanan mereka hanya tewas sekali sahaja dan menang sebanyak 17 perlawanan dan empat seri.

Oleh itu, perlawanan menentang Imigresen nanti akan menjadi peluang terbaik buat Melaka untuk memperkukuhkan kedudukan mereka sekaligus menjarakkan jurang mata bagi memastikan momentum kejuaraan terus berada di pihak mereka.

Biarpun berada dalam prestasi terbaik, Melaka tidak boleh memandang rendah atau sambil lewa dengan cabaran Imigresen nanti kerana mereka merupakan pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Ia telah dibuktikan menerusi rekod saingan liga musim ini yang menyaksikan mereka menjadi satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 22 perlawanan.

Perlawanan nanti tidak hanya penting kepada Melaka tetapi juga Imigresen kerana sekiranya mereka berjaya mendapat keputusan positif, peluang mereka untuk mendapatkan kejuaraan berganda menjadi semakin cerah.

Dalam pada itu, selain perlu beri fokus sepenuhnya untuk perlawanan menentang Imigresen, Melaka juga tidak boleh berasa selesa sekiranya berjaya mengutip tiga mata penuh kerana mereka perlu pastikan tidak keciciran mata pada baki perlawanan liga.

Sementara itu, biarpun saingan Liga A1 merupakan liga semi-profesional namun liga anjuran Amateur Football League (AFL) itu merupakan liga divisyen dua Liga Malaysia selepas Liga Super selepas saingan Liga Perdana (divisyen 2) dibubarkan sebelum ini.