Pemecatan Shin Tae-yong berpunca dari konflik dengan pemain warisan
Berita pemecatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong tidak hanya mengejutkan peminat bola sepak di Indonesia tetapi juga peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Ini kerana Tae-yong merupakan individu yang bertanggungjawab dalam revolusi bola sepak di negara itu dan telah berjaya membawa pasukan Sang Garuda layak ke kejohanan berprestij Asia iaitu Piala Asia sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada Piala Asia 2023 dan juga Piala Asia 2027.
Malah Indonesia kini sedang mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah tersendiri, namun secara tiba-tiba Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemecatan pengendali dari Korea Selatan itu.
Pelbagai spekulasi timbul selepas berita tersebut tersebar luas dan antara faktor yang dikatakan menjadi punca adalah masalah dalaman yang berlaku dalam pasukan ketika ini.
Salah seorang wartawan sukan Indonesia iaitu Haris Pardede mengakui sememangnya berlaku masalah dalaman iaitu perselisihan faham di antara pemain-pemain warisan dan Tae-yong.
“Ya, apa yang dikatakan memang benar atau lebih tepat lagi selepas menentang Bahrain. Selepas perlawanan tersebut, beberapa pemain warisan mempersoalkan percaturan dan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih.
Di sini bermulanya isu kerana ada pertembungan dua budaya kerana para pemain besar di Belanda mempunyai ‘mindset’ di mana kebiasaan mereka akan mencabar keputusan pihak atasan sekiranya tidak bersetuju.
Jadi ini soal budaya, tapi Tae-yong sebagai orang Asia tidak suka dengan perkara seperti ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Haris lagi, perselisihan faham itu semakin memuncak ketika perlawanan menentang China yang menyaksikan beberapa pemain utama yang dijangka akan turun dalam kesebelasan utama tidak diturunkan.
“Beberapa pemain tidak dimasukkan dalam ‘line-up’ seperti Eliano Reijnders dan beberapa tonggak lagi turut tidak diturunkan. Jadi di sinilah tercetusnya pergaduhan dan kemuncaknya ketika menentang Jepun.”
Susulan itu, pihak PSSI mengambil keputusan untuk memecat Tae-yong dan melantik bekas pemain kebangsaan Belanda, Patrick Kluivert sebagai ketua jurulatih baharu.
PSSI menerusi Presiden mereka iaitu Erick Thohir berkata pelantikan Kluivert ini dibuat untuk kepentingan pasukan kebangsaan dan memastikan kepimpinan pasukan sejajar dengan strategi yang dipersetujui oleh pemain, selain memperbaiki komunikasi dan pelaksanaan program latihan pasukan.
Dalam pada itu, Haris turut terkejut dengan pelantikan Kluivert kerana jurulatih itu tidak mempunyai trek rekod bagus ketika mengendalikan pasukan kebangsaan Curacao.
“Ya kita semua terkejut dengan pelantikan Kluivert kerana jika melihat rekod boleh dipertikaikan. Ketika mengendalikan Curacao beliau tidak berjaya di mana beliau sering melakukan rotasi dan perubahan posisi pemain menyebabkan pemain keliru.
Perkara ini menyebabkan pasukan itu gagal ketika kelayakan Piala Dunia, malah mereka turut tewas kepada pasukan-pasukan lebih kerdil. Mungkin beliau dilantik atas rekod ketika beliau menjadi penolong Louis van Gaal ketika Piala Dunia 2024 bersama pasukan Belanda.”
Jelasnya lagi, jika dibandingkan dengan Tae-yong, pengendali dari Korea Selatan itu mempunyai trek rekod lebih hebat.
Sementara itu, Haris tetap menaruh harapan tinggi kepada pengendali baharu untuk membawa pasukan Indonesia mengharungi cabaran besar dalam baki perlawanan kelayakan dengan aksi menentang Australia dan Bahrain akan menjadi ujian pertama.
Dan sekiranya Kluivert gagal, seluruh barisan kepiminan PSSI termasuk Erick Thohir bakal dihujani dengan kritikan daripada peminat.