Issey Nakajima yakin Rob Friend mampu bawa impak positif dalam bola sepak Malaysia
Bekas pemain import sensasi yang beraksi di Liga Malaysia, Issey Nakajima-Farran teruja dengan berita pelantikan kenalannya Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Menurut Nakajima, beliau percaya kehadiran Friend dilihat mampu membawa perubahan positif dalam landskap bola sepak dan dapat memacu bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Friend mempunyai latar belakang yang cukup mengkagumkan termasuk pernah bermain untuk kelab-kelab ternama seperti Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, dan LA Galaxy, serta mencatatkan 32 penampilan untuk pasukan kebangsaan Kanada antara 2003 hingga 2011.
Selepas bersara pada 2014, Friend menceburi bidang pengurusan bola sepak dengan portfolio luar biasa di mana beliau menjadi pengasas bersama Canadian Premier League (CPL), liga profesional bola sepak Kanada, yang berjaya meningkatkan nilai liga daripada sifar kepada AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Beliau juga memegang jawatan penting dalam dua kelab CPL, Pacific FC dan Vancouver FC, menerajui pembangunan kelab, pembangunan infrastruktur, dan operasi strategik yang menjadikan kedua-dua kelab tersebut bertaraf tinggi di Kanada.
“Beliau mempunyai rekod kejayaan dalam pemasaran dan penjemaan kelab. Saya yakin beliau dapat membawa nilai yang sama di sini.
Jadi saya sangat teruja untuk melihat apa yang beliau mampu bawa kerana ia Adalah peluang terbaik untuk dirinya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Nakajima turut mendedahkan bahawa Friend pernah menunjukkan minat terhadap bola sepak di Malaysia selepas bertanya mengenai bola sepak di Malaysia beberapa tahun lalu.
“Beliau sangat ingin tahu tentang bagaimana bola sepak di Malaysia beroperasi dan apa cabarannya. Saya berkongsi pandangan sebagai pemain import yang pernah bermain di sana, termasuk bagaimana beliau boleh membantu memperbaiki struktur pemasaran dan menarik penaja besar.”
Bekes pemain Sri Pahang FC itu juga yakin kehadiran Friend akan memberikan impak besar kepada bola Sepak Malaysia, terutamanya menerusi kepakarannya dalam pemasaran dan penjenamaan dan dengan pengalamannya dalam CPL, beliau berupaya membawa pendekatan inovatif untuk meningkatkan profesionalisme dan daya saing bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Nakajima yang sudah menganggap Malaysia sebagai ‘rumah kedua’-nya teruja dengan perkembangan semasa bola sepak di negara itu dan berharap ia dapat membawa pasukan Harimau Malaya ke tahap tertinggi.