Miroslav Kuljanac kekal optimis dengan peluang KL City FC mara ke peringkat kalah mati ACC
Ketua jurulatih KL City FC, Miroslav Kuljanac kekal positif dan optimis terhadap peluang untuk pasukannya melangkah ke pusingan kalah mati saingan ASEAN Club Championship (ACC) 2024-25 biarpun semalam terpaksa akur apabila tewas 2-0 kepada Lion City Sailors FC.
Menurut Miroslav, mereka turun beraksi dalam keadaan mencabar iaitu pemain mengalami kecederaan selain jadual padat yang secara tidak langsung memberi kesan kepada prestasi pasukan.
“Masih ada peluang, memang benar kami bermain dengan dua pasukan yang bagus tetapi kami akan memberikan yang terbaik.
Kami kehilangan beberapa pemain, ada yang datang lewat tetapi mereka masih bermain dan telah memberikan persembahan terbaik mereka,”
katanya.
Susulan kekalahan semalam, KL City kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan B berkongsi enam mata dengan pasukan di kedudukan kedua iaitu Buriram United.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan semalam pengendali dari Croatia itu mengakui pasukan lawan bermain dengan lebih baik dan mempunyai penyerang yang laju.
“Sejujurnya, mereka mempunyai pemain serangan yang lebih pantas daripada pemain pertahanan kami. Ini menyebabkan kami mendapat banyak masalah yang tidak sepatutnya berlaku.”
Beliau turut menyuarakan rasa kurang berpuas hati dengan keadaan padang yang kurang baik telah menyebabkan kesukaran pasukannya bermain.
Sementara itu, Miroslav yakin pasukannya akan kembali bangkit untuk mengharungi baki saingan peringkat kumpulan sekaligus mahu memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka.