KDA FC bakal kembali jalin kerjasama dengan Qatar Airways?

3,576

Penghujung tahun 2019, peminat pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) teruja apabila terdapat laporan yang mengatakan terdapat kemungkinan Qatar Airways bakal menjadi penaja utama pasukan.

Bagaimanapun perbincangan lanjutan dengan salah sebuah syarikat penerbangan terbesar di Timur Tengah ini terhenti berikutan pandemik COVID-19 dan saingan Liga Malaysia ditunda.


Khabar angin mengenai kemungkinan Qatar Airways bakal menjadi penaja Kedah bertiup kencang selepas presiden Kedah ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat hadir dalam perlawanan pembukaan Arabian Gulf Cup.

Persoalan yang timbul ketika ini terutamanya di kalangan peminat Hijau Kuning samada ‘rundingan’ sebelum ini yang tertangguh akan disambung semula atau tidak.

Berita mengenai penajaan dari Qatar Airways ini timbul apabila syarikat penerbangan itu mengambil keputusan untuk memperkenalkan penerbangan terus ke Langkawi.

Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum ini skuad Sang Kenari pernah ditaja untuk syarikat penerbangan tempatan Firefly Airlines.

Sumber foto: JDT Facebook

Semalam sosial media kecoh dengan berita juara lapan kali Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS).

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, MAS akan menjadi rakan penerbangan JDT ke perlawanan di seluruh Malaysia.

Nampaknya beberapa pasukan besar Liga Super kini dilihat semakin agresif dalam menarik syarikat-syarikat besar untuk menaja pasukan.

Ia satu inisiatif yang cukup bagus dalam usaha penswastaan kelab bola sepak yang diperkenalkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Walaupun masih banyak pasukan yang bergelut dengan proses penswastaan, namun kebanyakkan pasukan sudah mula berusaha menuju ke arah penswastaan penuh.