Tambahan dana akan digunakan untuk tingkatkan program pembangunan di pelbagai peringkat – Hamidin

31

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan penambahan peruntukan untuk pembangunan bola sepak Malaysia, khususnya untuk skuad Harimau Malaya.

Pertambahan peruntukan sebanyak RM15 juta menyaksikan jumlah keseluruhan dana yang akan diterima oleh FAM adalah sebanyak RM30 juta.


Bagaimanapun peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta itu akan dibiayai oleh pihak swasta.

Menurut Hamidin, tambahan dana ini akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan program pembangunan bola sepak di pelbagai peringkat.

Penekanan akan diberikan kepada usaha mempersiapkan pasukan kebangsaan agar lebih kompetitif dalam kejohanan antarabangsa.

“Peruntukan tambahan ini akan membantu FAM memacu perubahan, termasuk memastikan sokongan terbaik daripada tenaga pakar kepada pemain skuad kebangsaan. Ini juga bakal memberi motivasi kepada para pemain untuk mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan,”

kata Tan Sri Hamidin dalam satu kenyataan media.

Selain pembangunan pemain dan pengurusan organisasi, ucapan penghargaan turut disampaikan kepada YAB Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap bola sepak negara. 

Pada masa sama, FAM juga merakamkan junjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha memperkasa prestasi Harimau Malaya.

Dengan suntikan dana ini, FAM optimis dapat membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus memenuhi aspirasi rakyat untuk melihat Harimau Malaya terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.