Walaupun dikritik kurang kompetitif, SPL sentiasa ‘export’ pemain ke liga luar negara

266

Singapore Premier League (SPL) sering menjadi sasaran kritikan ramai berikutan dianggap tidak kompetitif berbanding liga-liga lain di rantau Asia Tenggara seperti Liga Super Malaysia, Liga 1 Indonesia mahu pun Thai League 1.

Namun di sebalik kekurangan tersebut, SPL telah membuktikan bahawa ia mampu melahirkan pemain berkualiti yang berjaya menarik perhatian kelab-kelab luar negara.


SPL memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain muda Singapura di mana ia menjadi pentas awal bagi bakat-bakat tempatan untuk menunjukkan potensi mereka sebelum melangkah ke arena antarabangsa. 

Pemain-pemain seperti Irfan Fandi, Ikhsan Fandi, dan Ilhan Fandi adalah contoh jelas bagaimana SPL menjadi batu loncatan untuk kerjaya mereka di luar negara.

Beberapa pemain yang beraksi dalam SPL telah berjaya membina nama di liga luar negara. Antara contoh pemain yang menonjol ialah:

Harris Harun

Pemain tengah ini menyertai pasukan LionsXII pada tahun 2012 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka menjuarai Liga Super Malaysia pada tahun 2013.

Selepas pembubaran LionsXII, Hariss menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan terus cemerlang dengan memenangi pelbagai kejuaraan bersama pasukan tersebut.

Safuwan Baharudin

Seorang lagi bekas pemain LionsXII yang telah lama mencipta nama di Liga Super Malaysia apabila pernah menyarung jersi beberapa kelab seperti PDRM FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC dan kini bersama gergasi Selangor FC.

Dengan pengalaman luas dalam saingan Liga Super, Safuwan turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan yang tidak hanya beraksi dalam saingan domestik tetapi juga di pentas Asia iaitu AFC Champions League Two (ACL 2).

Shakir Hamzah

Pemain pertahanan ini pernah beraksi dalam Liga Super Malaysia bersama pasukan seperti Kedah FA dan Perak FA. Shakir dikenali dengan ketangkasan dan kekuatan fizikalnya di barisan pertahanan.

Beliau juga pernah merangkul kejuaraan pertamanya dalam karier ketika bermain untuk Kedah apabila berjaya membantu pasukan untuk menjuarai Piala FA yang mana pasukan itu ketika dikenalikan oleh jurulatih daripada Singapura iaitu Aidil Sharin Sahak.

Irfan Fandi

Irfan Fandi, pemain pertahanan berbakat dari Singapura, kini beraksi dalam Liga Thailand dan dikenali sebagai salah satu pemain utama yang beraksi di luar negara.

Foto: football5star

Beliau menyertai kelab gergasi BG Pathum United dan berjaya membantu pasukan itu menjuarai Thai League 1 pada musim 2020/21 dan jodohnya bersama kelab itu tidak bertahan lama apabila pada musim 2023 beliau berhijrah ke sebuah lagi kelab gergasi Port FC.

Ikhsan Fandi 

Adik kepada Irfan Fandi iaitu Ikhsan Fandi turut berjaya menarik minat kelab gergasi BG Pathum United yang mana beliau telah memperlihatkan ketajaman beliau sebagai seorang penyerang.

Sejak menyarung jersi BG Pathum pada tahun 2022, Ikhsan telah turun beraksi dalam 69 perlawanan (dalam semua kejohanan domestik dan peringkat Asia, AFC Champions League) dan telah menjaringkan 38 gol dan empat bantuan gol.

Ini adalah antara beberapa pemain daripada Singapura yang sedang menyerlah di saingan liga luar negara dan tidak dapat dinafikan akan ada lebih ramai lagi pemain dari SPL akan menarik minat kelab-kelab luar negara.

Ia menunjukkan bahawa SPL mempunyai nilai tersendiri biarpun sering dilabel sebagai liga yang tidak kompetitif tetapi mereka telah memainkan peranan penting sebagai platform untuk melahirkan pemain berkualiti yang mampu bersaing di liga-liga luar negara.

Oleh itu, Liga Super Malaysia sepatutnya ambil pengajaran dari SPL kerana walaupun Malaysia dikatakan mempunyai liga yang kompetitif, tetapi gagal menarik minat kelab-kelab luar negara untuk mengambil pemain tempatan dan jika ada pun pemain itu tidak mampu bertahan lama dan tidak menjadi tonggak utama pasukan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen