Sergio Aguero sudah mula berjinak-jinak dalam bidang kejurulatihan
Kapten pasukan kebangsaan Malaysia yang juga penyerang utama Sri Pahang FC, Sergio Aguero sudah mula berjinak-jinak dalam arena kejurulatihan apabila beliau melakukan sesi praktikal di pusat latihan akademi bola sepak Rhino FA di Pangkalan Udara Kuantan.
Perkara itu dikongsi oleh Rhino FA menerusi media sosial rasmi mereka yang menyatakan ia adalah sebahagian daripada kursus kejurulatihan akar umbi yang sedang diambilnya dari Argentina, di mana beliau mengetuai sesi latihan yang melibatkan pemain-pemain muda Rhino FA, sebuah akademi pembangunan bola Sepak yang menempatkan pelatih berusia antara lima hingga 16 tahun.
Aguero memulakan latihan dengan sesi pemanasan badan, diikuti dengan penekanan asas bola sepak seperti:
- 1v1: Latihan untuk meningkatkan kemampuan individu.
- 2v2: Melatih kerjasama dan penyelarasan kecil antara pemain.
- 5v5: Latihan menyerupai permainan sebenar untuk membina keupayaan taktikal pasukan.
Sepanjang sesi, Aguero dibantu oleh Coach Loga, jurulatih Rhino FA yang ditugaskan oleh pengurusan akademi untuk memberikan sokongan teknikal.
Dalam pada itu, biarpun berlatih dalam keadaan hujan, semangat para pemain dan jurulatih tidak tergugat dan latihan diteruskan hingga selesai, dengan dedikasi yang tinggi daripada semua pihak.
Setelah tamat sesi latihan, para pemain Rhino FA mengambil peluang untuk berinteraksi dengan Aguero.
Mereka tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tandatangan serta bergambar kenangan bersama bintang bola sepak itu, mencipta memori berharga bagi para pelatih muda.
Sementara itu, penglibatan Aguero dalam bidang kejurulatihan memperlihatkan komitmennya untuk memperluaskan pengaruhnya dalam dunia bola sepak, bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga sebagai jurulatih masa depan.
Kursus kejurulatihan akar umbi yang sedang diambilnya dari Argentina menunjukkan kesungguhan beliau untuk membimbing generasi baru pemain bola sepak.
Dengan pengalaman luas di peringkat kelab dan antarabangsa, langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain muda di Rhino FA, tetapi juga membuka jalan untuk Aguero menjadi aset penting dalam pembangunan bola sepak Malaysia.