Kontroversi demi kontroversi menjelang Kongres Pemilihan FAM

760

Bola sepak Malaysia kini sedang dalam proses revolusi dengan penstrukturan semula pasukan kebangsaan yang akan menyaksikan skuad Harimau Malaya dan pasukan bawah 23 tahun akan dikendalikan oleh organisasi baharu yang akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih, Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad B-23 dan Dr. Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan.

Bagaimanapun disebalik keterujaan revolusi skuad kebangsaan, ia tidak terlepas dengan kontroversi terutamanya menjelang Kongres Pemilihan FAM yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2025 yang semakin hangat dengan pelbagai isu dan kontroversi yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat serta penggiat bola sepak tempatan.


Satu isu ke satu isu telah menimbulkan persoalan tentang masa depan dan integriti badan induk bola sepak negara.

Laporan Polis oleh PBNS dan MCFA

Antara kontroversi utama adalah tindakan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) yang mempertikaikan penghantaran borang pencalonan tanpa persetujuan presiden masing-masing. 

Kedua-dua persatuan mendakwa bahawa borang tersebut dihantar tanpa pengetahuan atau arahan rasmi, yang mencetuskan dakwaan ketidakadilan.

PBNS dan MCFA bercadang membuat laporan kepada pihak berkuasa, termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat isu ini. 

Permintaan mereka untuk menarik semula borang lama dan mendapatkan borang baharu dikatakan telah ditolak oleh FAM.

Penarikan diri calon Presiden

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden FAM di mana keputusan beliau dibuat atas dasar ingin memberi laluan kepada calon lain yang lebih berkelayakan, demi kebaikan bola sepak negara. 

Langkah ini mendapat pelbagai reaksi, termasuk penghargaan atas sikap profesionalisme beliau.

Pencalonan Datuk Dollah Salleh

Bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk Dollah Salleh, pula tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden FAM. 

Dengan pengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa, Dollah berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara melalui kepimpinan dalam FAM.

Kritikan terhadap kepimpinan FAM

Beberapa pihak turut melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan pemimpin berkaliber dalam badan induk ini. 

Kekosongan yang masih wujud dalam pencalonan untuk beberapa jawatan penting menunjukkan cabaran yang dihadapi FAM untuk menarik individu berkepakaran dan berpengaruh. 

Kritikan ini mencerminkan keperluan mendesak untuk memperbaiki pengurusan bola sepak negara.

Penggantungan Ahli Gabungan

FAM juga baru-baru ini menggantung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai Ahli Gabungan atas dakwaan bahawa kongres dan pemilihan yang dijalankan tidak sah. 

Tindakan ini memperlihatkan pendirian tegas FAM terhadap amalan yang tidak mematuhi peraturan, tetapi ia turut menambah ketegangan menjelang kongres pemilihan.

Cabaran dan harapan

Kontroversi-kontroversi ini mencerminkan cabaran besar yang dihadapi FAM dalam memastikan proses pemilihan yang telus dan adil. 

Situasi ini juga menyerlahkan kepentingan memperkukuh integriti, profesionalisme, dan kepimpinan dalam pengurusan bola sepak Malaysia.

Kongres kali ini bukan sahaja akan menentukan barisan kepimpinan baharu FAM, tetapi juga menjadi penentu kepada hala tuju bola sepak negara pada masa hadapan. 

Semua pihak berharap agar proses pemilihan berjalan dengan lancar, adil, dan mampu membawa perubahan positif kepada bola sepak tanah air.

Please rotate your device