Dylan Wenzel-Halls teruja berjaya jaringkan hatrik pertama dalam kariernya bersama Penang FC
Pemain import baru Penang FC, Dylan Wenzel-Halls tidak menunggu lama untuk memberikan impak positif buat pasukannya apabila beliau berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC baru-baru ini.
Apa yang membuatkan Dylan lebih teruja adalah jaringan hatrik yang dilakukannya itu merupakan hatrik pertama dalam karier bola sepaknya.
“Ya, hatrik profesional pertama saya dan ia adalah satu detik yang sangat istimewa. Malam itu di Stadium Bandaraya sangat berbeza dan saya sangat gembira dapat menjaringkan tiga gol di hadapan penyokong Penang FC,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jaringan hatrik tersebut turut menjadikan beliau sebagai pemain pertama berjaya menjaringkan hatrik buat Penang sejak Rafael Vitor melakukan hatrik pada tahun 2021 yang mana ia turut dilakukan ketika bertemu Perak.
Namun, walaupun beliau berjaya mencatat hat-trick, perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan yang mengecewakan apabila Perak berjaya bangkit untuk mengikat perlawanan 3-3.
Disebalik keputusan yang kurang memberangsangkan itu, pemain berasal dari Australia itu tetap optimis dengan perkembangan positif yang diperoleh dalam perlawanan tersebut.
Dalam pada itu, Dylan juga menyatakan keselesaan beliau bermain di bawah kendalian ketua jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail.
“Jurulatih Wan Rohaimi sangat bagus. Kami bermain bola sepak dengan baik dan walaupun tidak mendapat keputusan yang diinginkan, banyak perkara positif yang dapat kami ambil daripada setiap perlawanan.”
Dylan juga teruja menanti perlawanan separuh akhir MFL Challenge Cup 2024 di mana mereka akan melayan kunjungan pasukan gergasi Selangor FC di Bandaraya bagi perlawanan separuh akhir pertama.
“Kami tahu Selangor adalah pasukan yang kuat, tetapi kami akan memberikan yang terbaik dan berharap dapat meraih keputusan yang positif nanti.”