Ketika majoriti pemain tempatan lebih selesa di liga domestik, Azurin Mazlan terus berani lebar sayap ke luar negara
Penjaga gol pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Azurin Mazlan telah dilaporkan akan berhijrah ke Eropah untuk menyertai kelab KF Vllaznia di Albania untuk musim ini.
Keputusan untuk sekali lagi berhijrah ke luar negara memperlihatkan keberanian dan dedikasi Azurin yang mahu melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa, sekaligus berbeza dengan kebanyakan pemain bola sepak tempatan yang lebih selesa bermain di liga domestik.
Azurin bukanlah wajah baharu di arena bola sepak luar negara kerana sebelum ini, beliau pernah menyarung jersi kelab Misaka United FC di India dan kemudian beraksi bersama KFF Presingu di Kosovo.
Kepulangannya ke pentas antarabangsa dengan KF Vllaznia menandakan satu lagi langkah besar dalam kerjayanya, membuktikan semangat juang yang tinggi untuk terus mengasah bakatnya di liga yang lebih kompetitif.
Terdahulu, Azurin mencipta kejayaan bersama Sabah FA dalam Liga Wanita Nasional (LWN) 2024, membantu pasukan itu merangkul gelaran naib juara.
Beliau juga menjadi tonggak utama dalam perjalanan Sabah FA di pentas Asia, iaitu AFC Women’s Champions League (AWCL).
Prestasi cemerlang ini menjadi bukti betapa Azurin layak dilabel sebagai salah seorang penjaga gol wanita terbaik Malaysia ketika ini.
Keputusan Azurin untuk keluar dari zon selesa dan bermain di luar negara adalah sesuatu yang jarang dilihat di kalangan pemain bola sepak tempatan, terutamanya pemain lelaki.
Ramai pemain tempatan memilih untuk kekal di Liga Malaysia kerana gaji yang lumayan, walaupun peluang untuk mengembangkan potensi di peringkat antarabangsa lebih terhad.
Namun, dengan pengenalan tambahan kuota pemain import oleh Malaysian Football League (MFL), ramai pemain muda tempatan terpaksa memanaskan bangku simpanan.
Situasi ini bukan sahaja menghambat perkembangan bakat mereka, tetapi juga memberi impak negatif kepada pasukan kebangsaan, khususnya dalam posisi kritikal seperti penyerang.
Keberanian Azurin harus dijadikan inspirasi kepada pemain lain, tidak kira lelaki atau wanita, untuk berani melangkah ke luar negara.
Pengalaman bermain di liga luar bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, tetapi juga membantu membina mentaliti dan daya tahan yang lebih tinggi.
Diharapkan, langkah ini akan membuka mata lebih ramai pemain untuk keluar dari zon selesa mereka dan mengorak langkah ke liga luar negara demi masa depan bola sepak Malaysia yang lebih gemilang.