Adakah peruntukan dana untuk perkasa Harimau Malaya daripada kerajaan akan diaudit – Haresh Deol

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM15 juta dan keseluruhan sebanyak RM30 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khusus untuk pembangunan pasukan kebangsaan.
Jumlah peruntukan RM30 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2025 itu menyaksikan separuh daripada peruntukan tersebut iaitu RM15 juta akan dibiayai oleh pihak swasta.
Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan bagi wartawan sukan terkemuka tanah air, Haresh Deol turut tampil mempersoal mengapa duit pembayar cukai diberikan kepada FAM yang bukan badan kerajaan.
Ini kerana menurut Haresh, mengapa peruntukan perlu diberikan kepada sukan bola sepak dan bukan kepada sukan yang sudah terbukti konsisten membawa pulang kejayaan.
“Kenapa bola sepak? Kenapa bukan badminton? Saya melihat perkara ini dari segi objektif sukan manakah yang konsisten membawa pulang pingat daripada Sukan Olimpik.
Jadi apabila anda memberikan duit kepada sukan yang tidak mempunyai pulangan secara keputusan atau merit dan sukan yang memberi keputusan atau merit tidak mendapat pulangan sewajarnya, apakah ‘moral of the story’? Apakah mesej yang ingin disampaikan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelasnya lagi, belanjawan kerajaan sepatutnya diberikan kepada badan yang berada dibawah kelolaan kerajaan yang mana audit boleh dilakukan untuk melihat sama ada berlaku ketirisan dan sebagainya.
“Sekarang ini kerajaan telah memberi peruntukan dana untuk memperkasakan pasukan kebangsaan, jadi tidak boleh buat apa-apa dah.
Tapi adakah buku-buku akaun tersebut akan dibentangkan di parlimen sebagai contoh?.”
Beliau berkata demikian kerana proses audit dan pemantauan akan menjadi lebih sukar dilakukan berikutan FAM tidak berada di bawah kawalan kerajaan.
Dalam pada itu, Haresh berkata beliau tidak berniat untuk mempertikaikan sebaliknya hanya mempersoalkan kerana merasakan duit pembayar cukai sepatutnya diberikan kepada badan kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Bukankah patut duit kerajaan, duit pembayar cukai diberikan kepada badan kerajaan seperti sebagai contoh KPM kerana sukan bola sepak peringkat MSSM di bawah KPM.”
Sementara itu, isu peruntukan kepada FAM mencerminkan cabaran dalam memastikan ketelusan, keutamaan, dan keberkesanan perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan sukan.
Walaupun bola sepak mempunyai pengaruh besar, adalah penting untuk memastikan pembahagian dana berdasarkan pencapaian dan impak positif terhadap landskap sukan negara secara keseluruhan.
Rakyat berhak tahu bagaimana wang cukai mereka digunakan, dan pengurusan sukan perlu lebih bertanggungjawab untuk memastikan pembangunan sukan negara berada pada landasan yang betul.