Nilai pasaran Akhyar Rashid melonjak sejak sertai Terengganu FC

1,648

Pemain muda sensasi negara, Akhyar Rashid, terus mencuri perhatian selepas sah menjadi pemain tetap Terengganu FC (TFC) untuk dua musim akan datang. 

Berita gembira mengenai Akhyar sah menjadi pemain Terengganu diumumkan oleh kelab itu menerusi satu kenyataan media rasmi susulan Johor Darul Ta’zim (JDT) melepaskan pemain itu sekaligus menamatkan tempoh pinjamannya bersama Sang Penyu.


Akhyar memberikan impak besar kepada TFC sejak menyertai pasukan itu secara pinjaman bagi musim 2024/25. 

Beliau menjadi salah satu tonggak utama pasukan, bukan sahaja dalam saingan domestik seperti Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia, tetapi juga dalam ASEAN Club Championship, kejohanan serantau yang memperlihatkan kebangkitan Terengganu di arena antarabangsa.

Dalam 24 perlawanan bersama TFC, Akhyar mencatatkan lapan gol dan empat bantuan gol, dengan jumlah masa permainan sebanyak 1,727 minit. 

Statistik ini jelas menunjukkan peranan pentingnya dalam skuad Sang Penyu, jauh berbeza berbanding tempoh beliau bersama JDT.

Ini kerana Kketika bersama JDT dari tahun 2019 hingga 2024, Akhyar hanya memperoleh 1,846 minit permainan dalam 71 penampilan, mencatatkan 12 gol dan 10 bantuan gol. 

Kekurangan minit permainan ini mengehadkan peluangnya untuk menunjukkan potensi sebenar dan di Terengganu, beliau diberi kepercayaan sepenuhnya, dan ini memberi impak positif terhadap perkembangan kariernya.

Susulan prestasi cemerlang dan impak luar biasa Akhyar bersama TFC turut menyaksikan lonjakan ketara dalam nilai pasarannya iaitu meningkat daripada RM297 ribu kepada RM1.28 juta dalam tempoh singkat, mencerminkan keyakinan kelab dan peminat terhadap kebolehannya.

Dengan pengesahan kontraknya bersama TFC, Akhyar dijangka akan terus menjadi pemain penting buat pasukan gergasi dari Pantai Timur itu, termasuk dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang bekas pasukannya, JDT, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. 

Selain itu, beliau juga diharapkan untuk terus cemerlang dalam membantu skuad kebangsaan Harimau Malaya dalam kempen antarabangsa.

Sementara itu, keputusan Akhyar untuk berhijrah ternyata langkah bijak yang membuka lembaran baru dalam kariernya. 

Keupayaannya untuk terus konsisten di peringkat kelab dan kebangsaan akan menjadi kunci kepada kejayaan kariernya pada masa depan, dan semoga beliau terus mencipta kejayaan untuk pasukan Terengganu FC dan Malaysia!

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen