Aksi longlai skuad bola sepak negara cetus kemarahan netizen

1,522

“Memalukan!”

Perasaan yang boleh digambarkan mengenai aksi longlai dan layu skuad negara dalam aksi perlawanan menentang Laos pada Kejohanan AFF bawah 23 tahun di Kemboja.


Satu gol, empat bolos. Entah nak disimpan mana lagi air muka sebagai penyokong bola sepak negara. Kononnya lawan mudah selepas ketiadaan Myanmar dan Indonesia, sudahnya dimalukan pula oleh Laos.

Aksi cukup buruk ditampilkan oleh pemain bola sepak negara. Perkara-perkara asas seperti melakukan passing, melakukan percubaan ke arah gol, dan asas dalam bertahan dilihat amat mengecewakan. Harus diingat mereka ini merupakan pemain bola sepak profesional bukan bertaraf amatur.

Ada peminat yang beranggapan bahawa tidak perlu untuk memaki hamun skuad bawah 23 tahun yang gagal setelah tumpas dua kali dengan Laos. Beliau beranggapan bahawa Laos juga kini menunjukkan peningkatan yang ketara terutamanya dalam saingan bola sepak Asia Tenggara.

Itu cuma sebahagian cerita kurang enak bola sepak negara sejak dua menjak ini. Belum dicampur cerita-cerita lain lagi. Pelantikan Kim Pan-gon sebagai jurulatih baharu skuad senior kebangsaan juga turut menerima reaksi bercampur baur peminat bola sepak negara.

Kenyataan daripada Presiden FAM yang menyatakan FAM masih antara yang terbaik di Asia dan sasaran jurulatih Korea Selatan untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia dipandang sinis oleh pemerhati bola sepak tempatan.

Prestasi semasa skuad senior dan skuad muda negara langsung tidak menggambarkan bahawa sasaran untuk menjadi yang terbaik di Asia dan layak ke Piala Dunia dapat dicapai. Hendak bersaing di peringkat Asia Tenggara pun masih kelam kabut, apatah lagi nak mencapai kejayaan yang lebih besar?

Dana sebanyak RM 10 juta yang disalurkan kerajaan juga dilihat tidak sepadan dengan prestasi semasa. Ramai peminat merasakan bahawa dana sebesar itu lebih layak disalurkan untuk sukan-sukan lain seperti hoki, ragbi dan badminton yang seringkali mengharumkan nama Malaysia.

Sumber: Harimau Malaya FB

Kegagalan pasukan bola sepak negara dilihat mengulangi episod-episod kekecewaan yang lalu. Gagal dalam kejohanan, pecat jurulatih baru, buat post mortem namun peningkatan langsung tidak ada.

Hakikat yang menyedihkan apabila melihat pasukan-pasukan di Asia Tenggara yang sebelumnya itu menjadi pasukan belasahan kini mempamerkan kualiti yang kalau tidak setanding pun hampir menyamai apa yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita. Hal ini menimbulkan sedikit kemusykilan kerana diketahui negara-negara tersebut tidak mempunyai fasiliti berkelas dunia seperti Malaysia.

Sumber: Harimau Malaya FB

Jika perkara ini berlarutan, tidak mustahil skuad bola sepak negara akan terus ketinggalan berbanding negara-negara terutamanya di Asia Tenggara biarpun mempunyai fasiliti yang baik.