Odai Kharoub dedah pernah terima tawaran daripada Selangor FC

295

Bekas pemain import Kelantan Darul Naim FC (KDN), Odai Kharoub, mendedahkan bahawa beliau pernah menerima tawaran rasmi daripada Selangor FC pada bulan September yang lalu. 

Namun, beliau mengakui tiada perkembangan lanjut berkaitan tawaran itu, memandangkan pendaftaran pemain kini telah ditutup.


“Saya menerima tawaran rasmi daripada Selangor pada bulan September, tetapi baru-baru ini tiada tawaran lain kerana tiada pendaftaran pemain buat masa ini. Mungkin ada sesuatu untuk musim baharu nanti, mungkin,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Odai, pemain berasal dari Palestin, turut berkongsi kegembiraannya atas pengalaman pertamanya bermain di Malaysia bersama Kelantan. 

Beliau menyifatkan pengalamannya di KDN sebagai sesuatu yang istimewa, terutama ketika membantu pasukan meraih kemenangan dalam perlawanan menentang PDRM FC dan Negeri Sembilan FC.

“Saat terbaik yang saya alami adalah ketika kami memenangi perlawanan menentang PDRM dan Negeri Sembilan. Saya sangat gembira kerana dapat menyumbang kepada kegembiraan penyokong Kelantan,”

Odai turut menyatakan keputusannya untuk menyertai KDN dibuat kerana sejarah kelab itu yang hebat serta sokongan padu daripada peminatnya yang ramai. 

“Saya berharap semua pihak dapat membantu kelab ini kembali seperti dahulu, dan saya mengucapkan yang terbaik untuk mereka.”

Dalam pada itu, Odai juga mengakui bahawa Liga Malaysia lebih kompetitif dan menarik kerana kehadiran pemain profesional dari luar negara. 

“Di Palestin, tiada pemain profesional dari luar, tetapi di Malaysia, liga ini kuat, indah, dan terdapat pemain bertaraf tinggi,”

Beliau pada masa sama turut menyatakan hasratnya untuk kembali bermain di Malaysia suatu hari nanti kerana beliau menyukai suasana dan sokongan peminat di negara ini. 

Selain itu, beliau merancang untuk terus melibatkan diri dalam dunia bola sepak selepas bersara, mungkin sebagai jurulatih.

“Saya memiliki sebuah akademi bola sepak di Palestin, dan saya akan berusaha untuk mengembangkannya serta mencipta peluang untuk pemain dari liga luar kerana terdapat banyak bakat di Palestin.” katanya dengan penuh keyakinan.

Sementara itu, Odai tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada para penyokong, terutamanya peminat Kelantan, atas sokongan mereka sepanjang beliau bersama pasukan itu.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen