Soloz: Kisah hidup, filem inspirasi, dan perjalanan di dunia e-sukan

Nama Soloz dalam arena e-sukan Malaysia bukan lagi asing kerana beliau merupakan salah seorang ikon Mobile Legends Professional League (MPL) Malaysia dan perjalanan Soloz kini diabadikan dalam sebuah filem yang diberi judul “Soloz: Game of Life”.
Filem tersebut adalah hasil kolaborasi dengan pengarah terkenal, Syafiq Yusof yang mana Soloz mendedahkan beliau skptikal apabila idea untuk menghasilkan filem itu disuarakan.
Menurut Soloz, filem itu turut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapinya termasuk stigma masyarakat terhadap permainan video.
“Saya rasa cerita saya biasa saja. Tapi bila difikirkan balik, mungkin ada manfaat untuk generasi akan datang.
Ramai remaja guna nama saya untuk menyakinkan Ibu bapa mereka tentang e-sukan, tapi saya selalu tekankan, permainan video tak salah, asalkan tahu mengawal keseimbangan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Soloz juga kagum dengan pengarah filem yang mahu memastikan filem ini selari dengan realiti sehinggakan pelakon utama, Han Hakim perlu memerhati tingkah laku Soloz bagi memastikan lakonan tidak lari dari watak sebenar.
Tambahnya lagi, kehadiran filemnya itu diharap dapat memberikan perspektif baru kepada masyarakat tentang dunia e-sukan, serta bagaimana ia boleh menjadi platform yang positif jika diurus dengan betul.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pasukannya Team Vamos yang akan kembali beraksi dalam saingan MPL musim ke 15 nanti memberitahu bahawa akan berlaku sedikit perubahan dalam barisan pemain.
“Kami tak letak sasaran tinggi, tapi jika boleh jadi juara, itu bonus. Apa yang penting, kami nak kukuhkan prestasi di peringkat MPL Malaysia sebelum mencabar di pentas antarabangsa.
Bukan mudah nak bersaing di peringkat global, jadi kami kena pastikan MPL Malaysia adalah asas yang kukuh untuk pasukan.”