Kebanyakan pemain KL City bukanlah ‘budak muda’ tapi pemain berpengalaman – Kenny Pallraj
Pemain KL City FC, Kenny Pallraj menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya yang akan turun menentang Cong An Hanoi FC menjelang perlawanan keempat peringkat Kumpulan B ASEAN Cup Championship (ACC) esok.
Menurut Kenny, biarpun sedar reputasi besar pasukan lawan tetapi beliau menegaskan bahawa KL City tidak akan tunduk terlalu awal.
“Kami menghormati mereka sebagai pasukan yang hebat, tetapi kami juga menghormati diri kami sendiri. Di atas Padang, kami akan memberikan cabaran terbaik,”
katanya.
Kennya berkata kebanyakan pemain KL City bukanlah ‘budak muda’, sebaliknya pemain berpengalaman yang memahami tekanan dan keperluan perlawanan besar.
“Pemain-pemain KL City tahu apa yang perlu dilakukan. Pengalaman mereka di pelbagai peringkat menjadi aset penting untuk mengharungi cabaran ini.”
Tambahnya lagi, biarpun pasukan berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kecederaan beberapa pemain utama, tetapi beliau percaya semangat kekeluargaan dalam pasukan The City Boys akan menjadi kunci kejayaan.
Dalam pada itu, Kenny juga mengakui beliau dan rakan sepasukan cukup bersemangat dan bermotivasi kerana mereka akan bermain di tempat sendiri.
“Bermain di tempat sendiri sentiasa memberi kami kelebihan dari segi psikologi. Dengan sokongan padu penyokong, kami akan berikan 100% dan memastikan pemain memberikan usaha terbaik.”
Sementara itu, KL City yang kini sedang menduduki tempat ketiga kumpulan pastinya mahukan kemenangan supaya dapat mengukuhkan kedudukan selain cuba memintas Buriram United di kedudukan kedua.