Joehari terharu atas kepercayaan untuk menyambung legasi Hamidin sebagai Presiden FAM

220

Bakal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Mohd Ayob menzahirkan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli gabungan FAM untuk menyambung legasi kepimpinan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden FAM yang baharu.

Joehari yang kini merupakan Naib Presiden FAM telah menjadi satu-satunya calon untuk jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara yang akan dipertandingkan pada Kongres FAM bulan depan, sekaligus menyaksikan beliau berjaya menang tanpa bertanding.


“Menang tanpa bertanding adalah satu penghormatan besar. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang percaya kepada saya untuk menerajui persatuan ini.

Saya harap semua ahli gabungan dan pihak-pihak berkaitan bola Sepak akan terus menyokong usaha untuk memajukan bola sepak negara,”

katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesinambungan adalah keutamaan dan tiada perubahan besar yang akan dilakukan, sebaliknya fokus kepada memperbaiki aspek bola sepak Malaysia secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Joehari yang teruja dengan peluang untuk membawa pembaharuan dan revolusi dalam bola sepak negara akan mengulas lanjut mengenai perancangannya selepas Kongress FAM.

“Adalah lebih adil untuk saya mengulas secara terperinci selepas Kongress FAM nanti. Apa yang penting adalah memperkemas dan mengukuhkan apa yang sudah ada agar bola sepak Malaysia dapat berkembang dengan lebih baik.”

Sementara itu, Joehari berkata demikian ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian FAM dan PUMA Malaysia di Sunway Pyramid, Subang Jaya.