Kemenangan 1-0 tidak boleh dijadikan jaminan untuk perlawanan Ahad nanti – Kalamullah Al-Hafiz

264

Penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz mengakui kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC pada perlawanan separuh akhir pertama MFL Challenge Cup tidak akan memberi mereka sebarang jaminan untuk perlawanan kedua Ahad ini.

Menurut Kalamullah, mereka perlu memperbaiki beberapa kelemahan dan kesilapan bagi memastikan ia tidak berulang.


“Walaupun kami menang 1-0 dalam pertandingan sebelumnya, saya rasa kemenangan itu tidak menjamin prestasi kami akan lebih baik pada masa akan datang. 

Bahagian serangan perlu lebih tajam dan efektif. Dari segi pertahanan, kami masih berada dalam keadaan yang baik, tetapi penyerangan perlu diperbaiki, terutama dalam situasi set piece seperti corner kick. Pasukan lawan mempunyai kelebihan dari segi ketinggian pemain, jadi kami perlu lebih berhati-hati,”

katanya.

Selangor kini selangkah untuk mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup sekaligus semakin hampir untuk merangkul trofi pertama mereka musim ini.

Dalam pada itu, Kalamullah sedar tekanan diberikan kepada pasukan untuk mendapatkan keputusan positif dan mereka menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk berikan yang terbaik nanti.

“Tekanan dan cabaran adalah sebahagain daripada permainan. Bagi saya, ini adalah motivasi untuk bermain dengan lebih baik dan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan penyokong kami.

Saya percaya dengan fokus dan kerja keras, kami boleh mencapai keputusan yang positif.”

Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung esok akan melibatkan juara bertahan PDRM FC menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman yang mana peluang untuk kedua-dua pasukan mara ke perlawanan akhir masih terbuka luas selepas mereka terikat 3-3 pada aksi pertama.